AM

PAHANG KUTIP HAMPIR RM5 JUTA FI KELESTARIAN SETAKAT MEI - EXCO

20/07/2024 05:17 PM

KUANTAN, 20 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pahang telah mengutip hampir RM5 juta fi kelestarian daripada penghuni hotel setakat Mei lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Leong Yu Man.

Beliau berkata kutipan itu akan digunakan semula untuk pembangunan sektor pelancongan di negeri ini kelak antaranya menyelenggara dan menaik taraf infrastruktur pusat tumpuan pelancong.

“Kita jangka jumlah itu (RM5 juta) akan bertambah terutama pada cuti sekolah nanti, dan sepanjang tahun lepas kerajaan negeri telah berjaya mengutip hampir RM10 juta fi kelestarian," katanya pada sidang media selepas merasmikan MATTA Fair Pahang 2024 di sini hari ini.

Kerajaan Pahang telah menetapkan fi kelestarian pada kadar RM3 satu malam kepada penghuni hotel sejak 1 Jan 2022.

Leong memaklumkan hampir 2.8 juta pelancong telah mengunjungi Pahang setakat Mac lepas dengan 2.4 juta daripadanya merupakan pengunjung tempatan.

Sebanyak 360,313 pengunjung pula merupakan pelancong luar antaranya dari Singapura, Indonesia, China, Thailand, India, Jerman, United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat. 

Sementara itu, Pengerusi MATTA Pahang Chapter Alex Chea Sin Cheak berkata pihaknya menyasarkan nilai jualan sebanyak RM500,000 sepanjang tiga hari bermula semalam menerusi acara tahunan itu yang berlangsung di Kuantan City Mall di sini.

Beliau berkata program bertujuan mempromosi dan memperkasakan sektor pelancongan itu dijangka menarik 2,000 pengunjung menerusi 28 reruai yang mengetengahkan pelbagai pakej pelancongan domestik dan antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan