EKONOMI

BELIAN ASING DI BURSA MALAYSIA MELONJAK 54.9 PERATUS MINGGU LEPAS - MIDF

22/07/2024 11:13 AM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Pelabur asing meneruskan momentum belian ketara di Bursa Malaysia dengan mencatat belian bersih RM740.8 juta pada minggu lepas, melonjak sebanyak 54.9 peratus berbanding minggu sebelumnya, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).

Malah, bank pelaburan itu berkata kalangan pelabur asing merupakan pembeli bersih selama 15 hari dagangan berturut-turut.

“Mereka mencatat belian ekuiti masing-masing berjumlah RM326.6 juta pada Isnin, RM64.0 juta (Selasa), RM235.9 juta (Rabu), RM21.3 juta (Khamis) dan RM93.1 juta pada Jumaat,” katanya menerusi nota penyelidikannya, hari ini.

Tiga sektor utama yang menjadi pilihan pelabur asing itu adalah perkhidmatan kewangan berjumlah RM593.1 juta), utiliti (RM137.5 juta) dan hartanah (RM128.7 juta).

Institusi tempatan pula terus menjadi penjual bersih bagi minggu kedua berturut-turut dengan jualan berjumlah RM546.7 juta.

“Aktiviti jualan bersih berlaku hampir setiap hari pada minggu lepas yang meliputi tujuh hari dagangan berturut-turut,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata kalangan peruncit tempatan juga mengekalkan jualan bersih bagi minggu ketiga berturut-turut dengan mencatat RM194.2 juta pada minggu lepas.

“Minggu lepas menyaksikan purata jumlah dagangan harian dalam kalangan pelabur asing dan institusi tempatan masing-masing mencatat sebanyak 9.0 peratus dan 3.0 peratus.

“Peruncit tempatan pula mencatat peningkatan sebanyak 2.1 peratus,” kata MIDF.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan