AM

DEWAN NEGARA BERTAFAKUR MENGINGATI MUTANG TAGAL

22/07/2024 03:01 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Persidangan Dewan Negara hari ini bertafakur selama seminit bagi menghormati dan memperingati bekas Yang Dipertua Dewan Negara mendiang Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 10 Mei lepas.

Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah menzahirkan takziah Dewan Negara kepada keluarga mendiang sebelum memohon semua Ahli Dewan berdiri untuk bertakafur seketika.

“Saya amat berdukacita atas kematian mendiang. Beliau merupakan seorang pemimpin yang komited  dalam melunaskan tanggungjawabnya malah beliau sedang dalam tugasan mengetuai delegasi negara ke Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya di Baku, Azerbaijan (sebelum kejadian).

“Beliau juga seorang yang prihatin akan kebajikan Ahli Dewan ini serta seluruh pegawai dan petugas, oleh itu permergian beliau sangat dirasai dan merupakan satu kehilangan yang besar kepada negara,” katanya dalam ucapan selepas dilantik jawatan itu di Dewan Negara hari ini. 

Mutang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20 dan mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 19 Feb lepas.

Mutang yang berasal dari Lawas, Sarawak mencipta sejarah apabila menjadi pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang dilantik memegang jawatan itu.

Mempunyai latar belakang pendidikan dan praktis di dalam bidang perundangan, beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas, Sarawak, dari 1982 hingga 1990 dan pemergiannya meninggalkan isteri Datin Ho May Leng dan tiga orang anak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan