EKONOMI

TENAGA KERJA INDUSTRI KEWANGAN PERLU TANGKAS, BERDAYA TAHAN DEPANI PERUBAHAN - GABENOR BNM

22/07/2024 06:36 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Tenaga kerja industri kewangan perlu tangkas dan berdaya tahan dalam mendepani perubahan kerana automasi, kecerdasan buatan (AI), dan trend pendigitalan lain sedang membentuk semula serta mencipta pekerjaan yang baharu, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata kira-kira 168,000 individu yang bekerja dalam sektor kewangan perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang betul untuk memacu industri kewangan menyumbang dengan lebih berkesan kepada ekonomi.

Meskipun usaha berterusan untuk mendigitalkan operasi, Abdul Rasheed berkata tenaga kerja sektor kewangan telah berkembang hampir 3.0 peratus dalam tempoh dua tahun lepas, dengan kebanyakan peluang pekerjaan disasarkan kepada pekerja berkemahiran tinggi yang mewakili lebih daripada 95 peratus daripada jumlah kekosongan jawatan dan jawatan yang baru dicipta.

"Melaksanakan Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) merupakan langkah penting bagi industri ini dalam membina asas yang kukuh untuk pembangunan kemahiran dan pemadanan kemahiran pekerjaan, menangani cabaran dan peluang. Untuk ini, kita memerlukan pendekatan menyeluruh industri dan negara," katanya semasa pelancaran FSF bagi sektor kewangan, di sini, hari ini.

FSF telah mengenal pasti 159 pekerjaan yang relevan dan 157 kemahiran yang akan diperlukan dalam tempoh tiga tahun akan datang, potensi pembangunan kerjaya serta akses kepada hampir 1,000 program peningkatan kapasiti.

Rangka kerja itu, antara lainnya, menekankan peningkatan permintaan terhadap kemahiran dalam teknologi baharu, kemampanan dan Syariah.

Abdul Rasheed menekankan tiga langkah tindakan untuk memastikan tenaga kerja sektor kewangan sentiasa relevan pada masa hadapan termasuk meramal dan merancang kemahiran sebagai bahagian penting daripada strategi tenaga kerja bagi menjaga ketahanan sektor tersebut.

"Untuk melakukannya secara berkesan, kita boleh belajar daripada Financial Services Skills Commission (Suruhanjaya Kemahiran Perkhidmatan Kewangan) United Kingdom, yang menyokong kemahiran ramalan di semua peringkat iaitu negara, industri dan firma.

"Ini bermakna membentuk sekutu untuk meramalkan, memahami kerja yang terperinci dan pengumpulan data, serta melabur dalam infrastruktur pembangunan kemahiran," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan