AM

DEWAN NEGARA MERAFAK SEMBAH, UCAP TAHNIAH PERTABALAN YANG DI-PERTUAN AGONG KE-17

23/07/2024 01:14 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Dewan Negara hari ini merafak sembah dan merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah atas pertabalan Seri Paduka Baginda berdua, Sabtu lepas.

Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, yang membacakan pemasyhuran tersebut sebelum memulakan persidangan hari ini, berkata kesemua Ahli Dewan Negara bersedia untuk berkhidmat dan menabur bakti di bawah naungan pemerintahan Sultan Ibrahim. 

“Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan jelas mengatakan bahawa kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen dan hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua majlis Parlimen iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

“Semoga kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua bersemayam di atas singgahsana takhta dengan penuh keberkatan Allah S.W.T dan patik-patik yang dilantik sekalian, Ahli Dewan Negara, sedia berkhidmat menabur bakti di bawah payung pemerintahan Tuanku.

“Dirgahayu Tuanku!, Daulat Tuanku!,” katanya.

Sultan Ibrahim selamat ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada istiadat gilang-gemilang dipenuhi tradisi di Istana Negara pada Sabtu lepas (20 Julai).

Berlangsung di Balairung Seri Istana Negara di sini, istiadat pertabalan itu ialah pemasyhuran kepada seluruh dunia bahawa Sultan Ibrahim telah bersemayam di takhta sebagai Ketua Tertinggi Negara yang menggalas tanggungjawab menjadi payung mahkota menaungi rakyat Malaysia untuk tempoh lima tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan