EKONOMI

CABARAN AEIOU ALLIANCE BANK SASAR 25,000 PELAJAR SEKOLAH

23/07/2024 04:46 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd telah melancarkan Cabaran AEIOU edisi ketujuh, sebuah inisiatif pendidikan kewangan diiktiraf dengan sasaran 25,000 pelajar sekolah tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu memperkenalkan tema Cabaran AEIOU tahun ini: “Mengesan Penipuan: Jadi Wira Kewangan!” 

Tema ini menekankan peranan penting pengetahuan kewangan dalam menavigasi landskap digital semasa selain melengkapkan individu muda dengan kemahiran bagi mengenal pasti dan mengelakkan penipuan kewangan.

Kempen itu menyediakan pendidikan kewangan penting melalui dua komponen utama iaitu Cabaran Komik AEIOU serta Cabaran e-Permainan Kewangan AEIOU, distrukturkan kepada tiga modul – Simpan, Rancang, Belanja.

Cabaran Komik menggalakkan peserta meneroka konsep kewangan secara kreatif, mengubah pendidikan menjadi pengalaman imaginatif. 

Sementara itu, Cabaran e-Permainan mendidik kemahiran kewangan dalam format digital yang dinamik dan interaktif.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata Cabaran AEIOU adalah penting kepada komitmen bank dalam meningkatkan celik kewangan di kalangan rakyat Malaysia dengan menyediakan sebuah platform untuk mempelajari pengurusan wang yang bijak kepada golongan pelajar.

"Penipuan kewangan semakin meningkat sejajar dengan kemajuan teknologi, adalah penting berbanding sebelum ini bagi golongan muda untuk memahami konsep kewangan dan diri mereka dengan pengetahuan kewangan yang mantap sejak kecil. 

"Pengetahuan ini bukan sahaja akan membantu melindungi mereka daripada penipuan tetapi juga memperkasakan mereka dalam membuat keputusan kewangan termaklum semasa mereka beralih ke alam dewasa," kata Kam.

Tarikh akhir untuk penyerahan Cabaran Komik ialah 30 Sept 2024.

Alliance Bank mempelawa semua pelajar sekolah di seluruh negara berumur antara 9 hingga 12 tahun untuk menyertai Cabaran AEIOU dan memulakan perjalanan ke arah pengurusan kewangan yang mantap melalui pelbagai aktiviti interaktif.

Sejak diperkenalkan pada 2015, Cabaran AEIOU telah memanfaatkan 140,000 kanak-kanak di seluruh negara, malahan Cabaran Komik dan Cabaran e-Permainan telah menerima 130,000 penyertaan.

Selain itu, seramai 1,300 guru telah ditauliahkan bagi mengendalikan bengkel celik kewangan di sekolah masing-masing. 

Secara keseluruhan, cabaran ini telah melibatkan lebih 1,000 sekolah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan