AM

KURANG UPAYA BUKAN PENGHALANG RAIH KEPUTUSAN CEMERLANG STPM

23/07/2024 06:05 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Kekurangan fizikal bukan halangan untuk Muhamad Rafiudin Mohamad Hisham mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.

Pelajar St John’s Institution Kuala Lumpur berusia 20 tahun itu dinobatkan sebagai pelajar terbaik STPM 2023 kategori buta selepas meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.

Muhamad Rafiudin yang disahkan buta pada usia tiga tahun akibat kanser limfoma berkata beliau tidak pernah berputus asa biarpun berdepan pelbagai cabaran akibat penglihatannya yang terbatas.

“Perkara yang susah bila nak buat kerja kursus sebab kita perlu pergi ke kawasan kajian, jadi pergerakan saya agak terbatas. Tetapi ibu bapa saya banyak tolong untuk membantu saya menyiapkan kerja kursus STPM saya ini.

“Kalau cikgu bagi bahan pun, memang rakan-rakan saya akan membantu saya untuk bacakan, jadi saya boleh dengar dan fahamkan bahan tersebut,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Muhamad Rafiudin merupakan antara 17 pelajar yang menerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2023 bagi kategori Calon Berkeperluan Pendidikan Khas anjuran Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan majlis turut dihadiri Pengerusi MPM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Sementara itu, penerima anugerah pelajar cemerlang kategori Orang Asli, S.A. Ananda Ishwary berkata kejayaannya dalam peperiksaan STPM menjadi pendorong buatnya untuk menyambung pelajaran dalam jurusan undang-undang.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan, Perak yang meraih PNGK 4.0 itu memberitahu ibunya yang menjadi sumber inspirasi.  

“Ibu saya membesarkan saya dengan kakak saya seorang kerana bapa saya telah meninggal dunia tujuh tahun lepas dan menyara kami dengan bekerja sebagai tukang cuci di dua tempat berbeza," katanya yang berasal dari Kampung Orang Asli Erong, Perak.

Penerima Anugerah Pelajar Cemerlang STPM bagi setiap kategori menerima wang tunai bernilai RM1,000, plak serta sijil daripada MPM.

Kategori berkenaan ialah lima pelajar terbaik bagi aliran sains dan sains sosial, kategori calon Berkeperluan Pendidikan Khas iaitu buta (dua orang), rabun, autistik dan spastik dan dua pelajar terbaik kategori Orang Asli.

Bagi Tan Jun Sheng, 20, yang mengalami masalah penglihatan ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa kekurangannya bukanlah satu bebanan untuk mencapai keputusan cemerlang.

“Ada sesetengah masyarakat menganggap kekurangan saya ini sebagai bebanan malah saya pernah dianggap sebagai sampah masyarakat.

"Mereka kurang memahami bahawa orang kurang upaya juga boleh buat apa yang manusia lain boleh buat walaupun memerlukan sedikit bantuan," katanya yang merupakan pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, Georgetown, Pulau Pinang.

Tan yang memperoleh PNGK 4.0 mendedikasikan keputusan tersebut kepada mendiang neneknya dan beliau ingin menyambung pelajaran dalam bidang sains politik di universiti tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan