AM

PENDUDUK PERAI BIMBANG PENCEMARAN UDARA MENGANDUNGI SERBUK BESI

23/07/2024 06:23 PM

BUTTERWORTH, 23 Julai (Bernama) -- Penduduk di sekitar kawasan berhampiran Zon Perindustrian Bebas 1 Perai di sini bimbang pencemaran udara dari kilang berhampiran turut mengandungi serbuk besi yang bukan sahaja mengotorkan rumah malah menyebabkan masalah kesihatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai Datuk Seri S. Sundarajoo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri berkata isu itu diadukan penduduk kepadanya sejak minggu lepas.

Justeru, beliau bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang telah menjalankan operasi pemeriksaan mengejut di sebuah kilang pembuatan besi di situ hari ini.

"Hari ini kami datang buat pemeriksaan mengejut di kilang itu dan pasukan JAS sedang menjalankan pemeriksaan serta siasatan lanjut, kita akan periksa secara terperinci dan pengurusan kilang juga memberikan kerjasama baik kepada kami.

"Kita belum dapat pastikan lagi punca pencemaran udara tetapi oleh kerana habuk itu mengandungi kandungan besi yang boleh dimagnetkan, kita rasa ia (pencemaran) dari kilang besi, kalau bukan dari punca (kilang besi) di sini, baru kita pergi ke sana (kilang besi yang lebih jauh) dari kawasan udara tercemar ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan di sebuah kilang di sini hari ini.

Sundarajoo berkata pihak kilang itu juga diarahkan untuk menghantar laporan secara berkala setiap tiga bulan supaya pihak berkuasa terutama JAS Pulau Pinang dapat memantau sama ada terdapat pencemaran udara dari kilang tersebut.

Beliau berkata tindakan akan diambil jika pemeriksaan lanjut oleh pasukan JAS mendapati terdapat pencemaran udara dari kilang tersebut sehingga menyebabkan rumah penduduk berdebu hitam.

"Saya sendiri menerima aduan daripada penduduk sekitar sini dan mereka turut menghantar klip rakaman video pencemaran udara semalam yang menunjukkan habuk yang dipercayai sisa besi boleh ditarik dengan bahan magnet.

"Sebab itu penduduk bimbang kerana mereka takut ia akan menyebabkan masalah kesihatan daripada pencemaran udara tersebut," katanya.

Dalam sidang media yang sama, Pengarah JAS Pulau Pinang Norazizi Adinan berkata setakat ini tiada kompaun atau tindakan dikeluarkan kerana pihaknya masih menjalankan pemeriksaan lanjut dan terperinci di kilang itu.

"Indeks Pencemaran Udara (API) di kawasan ini ketika ini antara 60 hingga 80 dengan mengambil kira faktor jerebu di sini dan kalau ikut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memang angin bertiup dari arah laut ke darat, jadi banyak (pihak) akan terkesan di kawasan-kawasan perumahan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan