AM

JOHARI TERUSKAN LAWATAN KERJA KE NEGERI SEMBILAN

24/07/2024 08:59 PM

SEREMBAN, 24 Julai (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini mengadakan lawatan kerja ke Dewan Undangan Negeri Sembilan (DUN) bersempena Pra Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia Tahun 2024.

Ini merupakan negeri kedua dilawati beliau selepas Melaka.

Johari berkata antara perkara dibincangkan dalam pertemuannya dengan Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan Datuk MK Ibrahim Abd Samad termasuk mengenai perjalanan sidang dewan dan pengukuhan institusi Speaker.

"Kita melihat kepada memperkemaskan institusi Speaker selaras dengan negara yang sedang maju bergerak, sudah tentu ada pelbagai cabaran.

"Kalau di peringkat DUN mempunyai masalah tertentu seperti kecekapan kemahiran digital atau perundangan dan peringkat Parlimen dapat membantu melengkapkan diri menyambut perkembangan teknologi dan ekonomi yang saya jangka keadaannya luar biasa," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Negeri di sini.

Johari berkata pihaknya turut membincangkan persiapan Parlimen Malaysia yang bakal mempengerusikan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) 2025 di ibu negara.

Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2024 dijadual pada 11 hingga 14 Sept depan di Kuching, Sarawak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan