AM

KERAJAAN TERBUKA BEKERJASAMA DENGAN PEMAIN INDUSTRI PERKASA PENDIGITALAN NEGARA

24/07/2024 11:13 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kerajaan komited dan sedia menjalin kerjasama dengan pemain industri digital dalam usaha memperkasakan sektor berkenaan di Malaysia.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata beliau telah meminta semua ketua industri berkaitan hadir ke kementerian berkenaan dan memberi pandangan untuk menggariskan dasar digital pada masa akan datang.

Beliau berkata ini kerana ekosistem yang dibina adalah penting bukan sekadar bagi membolehkan kerajaan mengetahui masalah berkaitan sektor digital sebelum ini tetapi juga untuk melihat cabaran yang bakal didepani.

“Jadi, pengalaman yang mereka dapat daripada perjalanan dahulu hingga sekarang sangat penting supaya kita dapat menyediakan garis panduan untuk kita bergerak ke hadapan.

“Saya berpendapat adalah penting untuk kita memahami bahawa kita tidak boleh melakukan perkara itu secara bersendirian.

"Saya memaklumkan bahawa saya memerlukan bantuan mereka bagi membincangkan cara kita merangka dasar untuk membolehkan Malaysia bergerak ke hadapan dengan input daripada industri dan sudah tentu kerajaan akan membantu sekadar yang termampu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah PC.com ke-24 di sini hari ini.

Gobind turut mengulangi keyakinan beliau bahawa pihaknya mampu mencapai sasaran sumbangan ekonomi digital sebanyak 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2025 sekiranya semua pihak termasuk rakyat memanfaatkan platform yang disediakan oleh kerajaan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

"Kita perlu pastikan kita memberikan usaha yang mencukupi untuk memastikan bahawa setiap rakyat Malaysia mahir menggunakan platform-platform digital ini untuk kebaikan dan mengubah cara perniagaan mereka," katanya.

Menyentuh mengenai majlis malam ini, beliau berkata PC.com mengiktiraf individu dan syarikat untuk menghargai sumbangan mereka kepada industri.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan