EKONOMI

KERAJAAN KOMITED KURANGKAN HUTANG NEGARA, PERKUKUH DASAR KEWANGAN FISKAL - PM ANWAR

25/07/2024 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI sedang giat menguruskan dua aspek utama pengurusan fiskal negara iaitu mengurangkan hutang dan menurunkan defisit fiskal, yang semakin menunjukkan perkembangan positif.

Justeru, beliau menafikan dakwaan bahawa dasar kewangan fiskal negara dan belanjawan kelihatan mengekang dan tidak seperti apa yang dijanjikan oleh kerajaan.

Menurut Anwar, sejak kebelakangan ini tersebar dakwaan tidak berasas bahawa kerajaan tidak mendedahkan fakta sebenar ekonomi dan memungkiri janji terkait usaha menurunkan hutang negara.

“Saya lihat dalam media sosial kita diserang tetapi fakta itu tidak benar,” kata beliau menerusi hantaran video di laman X, hari ini.

Beliau menegaskan apa yang diuar-uarkan itu sebahagiannya tidak berdasarkan fakta dan hanya lontaran politik yang tidak bertanggungjawab. 

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri berkata kerajaan menyasar untuk mengurangkan pinjaman tahunan negara kepada RM86 bilion pada 2024 daripada RM93 bilion pada 2023 dan RM100 bilion pada 2022 dengan rasionalisasi subsidi merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk mencapai matlamat itu.

Mengulas lanjut di laman X itu, beliau berkata, ada hutang yang diwarisi kerajaan sekarang mencecah lebih RM1 trilion dan malah RM1.5 trilion.

“Umpamanya, pada tahun 2021, 2022, kita berhutang dari luar dan dalam negara (masing-masing) berjumlah RM100 bilion. Kita ambil alih tahun 2023, kita beritahu keadaaan tidak boleh kita pertahankan dengan hutang yang berlonggok dan bertambah. 

“Maka, kita turunkan, maknanya kurangkan hutang kepada RM93 billion daripada RM100 bilion sebelumnya atau tahun sebelumnya. Tahun 2024 (kita kurangkan) kepada sebanyak RM86 bilion, maknanya (hutang) berkurangan daripada RM100 bilion kepada RM93 bilion dan (seterusnya) kepada RM86 billion,” kata beliau.

 Anwar menegaskan kerajaan tidak boleh terus membatalkan semua hutang kerana ia akan menjejaskan projek untuk membantu rakyat, pembinaan sekolah atau universiti serta pembangunan termasuk tanggungan membayar hutang lama.

“Tanggungan hutang negara tinggi dan sekarang ini 64 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Target (sasaran) kita adalah untuk menurunkan secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya 60 peratus,” kata beliau.

Beliau berkata sebelum ini defisit negara mencecah lebih 60 peratus dan selepas Kerajaan MADANI mengambil alih pada 2022 defisit dapat diturunkan kepada 5.6 peratus dan seterusnya kepada 5.0 peratus pada 2023, manakala tahun ini unjurannya diturunkan kepada 4.3 peratus.

“Saya berikan angka-angka ini, dan ia (angka-angka ini) dipertahankan dari sudut kebenarannya, dan Kementerian Kewangan dari semasa ke semasa memang mengeluarkan data-data ini bersama dengan Jabatan Statistik Negara,” tegas beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan