AM

MAHKOTA KERAJAAN JOHOR, MAHKOTA PERMAISURI KOLEKSI EKSKLUSIF PAMERAN RAJA KITA

25/07/2024 09:05 PM

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Mahkota Kerajaan Johor dan Mahkota Permaisuri yang digunakan semasa Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim pada 2015 adalah antara koleksi istimewa yang menjadi tarikan utama pada Pameran Raja Kita di Muzium Negara.

Lebih eksklusif, kedua-dua koleksi bernilai tinggi itu yang dibawa khas dari Muzium Diraja Abu Bakar, Istana Besar Johor, hanya dipertontonkan kepada umum untuk tempoh lima hari pertama pameran berkenaan yang bermula esok.

Pameran Raja Kita yang berlangsung selama dua bulan hingga 29 Sept, merupakan sebahagian daripada acara yang disusun bersempena dengan Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sabtu lepas. 

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata buat julung kali, mahkota yang dipakai Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada Istiadat Kemahkotaan Seri Paduka Baginda sebagai Sultan Johor kelima pada 23 Mac 2015 dipamerkan kepada rakyat.

“Kami menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim atas perkenan dan ihsan membenarkan kedua-dua mahkota ini dipamerkan di Muzium Negara,” katanya kepada Bernama. 

Kamarul Baharin berkata mahkota berkenaan mempunyai keunikan tersendiri kerana dihiasi dengan motif lada hitam dan gambir yang sinonim dengan perkembangan sosioekonomi Johor. 

"Mahkota ini antara koleksi paling mahal yang dipamerkan dan sangat unik kerana ia ditempah khas di London, ia juga mempunyai sejarah tersendiri.

"(Almarhum) Sultan Abu Bakar antara Raja Melayu yang mendapat gelaran 'Sir' dan mahkota itu ada hubung kait dengan pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan Britain pada masa itu," katanya.

Berdasarkan nota penerangan pada kotak pameran, Mahkota Kerajaan Johor yang dibuat oleh syarikat J.W Benson, London pada 1886 itu diinspirasikan daripada mahkota British bernama King Edward’s Crown dan diubah suai mengikut keperluan dan citarasa Sultan Abu Bakar. 

Sultan Abu Bakar berkehendakkan lambang salib yang ada pada mahkota asal tidak digunakan dan diganti dengan lambang dan tanda Islam seperti bulan dan bintang serta perkataan Allah dan Muhammad diletakkan pada mahkota itu.

Selain itu, empat bintang pecahan lima pada mercu mahkota pula memberi makna bahawa Sultan Abu Bakar menjunjung tinggi agama Islam yang menjadi agama rasmi di Johor.

Mahkota yang diperbuat daripada logam berharga itu bertatahkan dengan batu permata yang berbeza ukuran dan bentuk antaranya delima, batu nilam, zamrud dan berlian.

Sementara itu, Mahkota Permaisuri juga direka dan dibuat oleh syarikat J.W Benson, London dengan rekaan lebih kecil dan diperbuat daripada emas putih yang bertatahkan berlian serta bermotifkan awan larat.  

Namun begitu, pada 1925 Sultan Ibrahim mengubah dan membaiki mahkota berkenaan dengan menambah lima berlian besar dengan setiap satu 18 karat. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan