Oleh Kenny Teng Khoon Hock
VIENTIANE, 25 Julai (Bernama) -- Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun hadapan bakal memperkenalkan Konsep Komuniti ASEAN 2025-2045 bagi membolehkan negara-negara serantau meningkatkan kerjasama dalam pelbagai aspek.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Konsep Komuniti ASEAN merupakan visi 20 tahun untuk komuniti negara-negara ASEAN.
Menurut beliau, proses menyiapkan Draf Komuniti ASEAN kini di peringkat akhir dan satu mesyuarat peringkat Jawatankuasa akan diadakan pada penghujung bulan ini di Melaka.
"Kita berharap akan dapat selesaikan draf dan untuk kita tandatangani pada awal tahun depan. Kita akan memanggil satu mesyuarat peringkat jawatankuasa pegawai hujung bulan ini di Melaka, Malaysia untuk kita selesaikan perkara-perkara yang tidak banyak lagi yang nak dipersetujui," katanya kepada media Malaysia di sini Khamis.
Mohamad berkata matlamat Konsep Komuniti ASEAN adalah menjadikan ASEAN sebagai satu komuniti besar bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga pembahagian tenaga, kesalinghubungan, infrastruktur dan lain-lain.
Jelasnya, ASEAN mampu menjadi blok penting dalam sistem ekonomi global dengan pelbagai kelebihan dimiliki setiap negara anggota.
"Dengan penduduk lebih 600 juta berserta nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kelima terbesar dan bakal menjadi keempat terbesar dunia dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, ini merupakan asas untuk kita bina masa depan," katanya.
Selain itu, Mohamad berkata beliau telah mencadangkan kepada semua negara anggota ASEAN supaya Timor-Leste dipertimbangkan menjadi negara anggota setelah mencapai 25 peratus daripada 84 perkara kriteria untuk menyertai ASEAN.
Beliau berkata Timor-Leste sekarang ini menghadiri mesyuarat peringkat ASEAN sebagai negara pemerhati setelah mereka memohon untuk menyertai sebagai anggota ASEAN.
"Dalam sesi pleno Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-57 (AMM ke-57), saya telah mencadangkan supaya jika nak tunggu sehingga 84 perkara dipenuhi oleh Timor Leste, ia akan memakan masa bertahun tahun, jadi saya bagi pihak Malaysia, kita mencadangkan kepada rakan-rakan ASEAN, jika boleh Timor Leste ini memenuhi 25 peratus dahulu daripada 84 perkara berkenaan," katanya.
Mohamad berkata perkara itu akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa dan Malaysia sedia membantu memastikan Timor-Leste dapat dengan segera menjadi anggota ASEAN.
Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN adalah satu proses yang bermula selepas kemerdekaan negara itu pada 2002.
Timor-Leste diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.
Pada 2022, pemimpin ASEAN yang berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju agar Timor-Leste menjadi anggota ke-11 kumpulan itu.
Pemimpin ASEAN berkata Timor-Leste juga diberi status pemerhati bagi mengambil bahagian dalam semua Mesyuarat ASEAN termasuk sesi pleno.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial