AM

JALAN SEKITAR IPOH DITUTUP SEMPENA HARI PAHLAWAN, IPOH INTERNATIONAL RUN

25/07/2024 10:20 PM

IPOH, 25 Julai (Bernama) -- Beberapa jalan raya di sekitar Ipoh akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bagi memberi laluan sempena sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak serta Program Ipoh International Run 2024 bermula Ahad ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata raptai sambutan Hari Pahlawan diadakan bermula Ahad hingga Selasa depan, melibatkan penutupan beberapa jalan di sekitar bandar raya bermula 7 pagi sehingga latihan itu selesai.

Bagaimanapun, penutupan jalan semasa raptai akan dilaksanakan secara berperingkat dan bergantung kepada keperluan semasa.

"Laluan semasa sambutan Hari Pahlawan pada Rabu depan bermula 7 pagi melibatkan Jalan Kuala Kangsar (Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, Jabatan Agama Islam Perak), Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sekitar Bangunan Perak Darul Ridzuan, susur Jalan RM Aziz serta Jalan St. John.

"Justeru, semua pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa penutupan dan lencongan jalan dilaksanakan," katanya. 

Sementara itu, Abang Zainal Abidin berkata bagi program larian, pelaksanaan pelencongan dan penutupan jalan akan dilaksana bermula 3 pagi sehingga selesai pada Ahad ini.

Pelaksanaan itu bagi memberi laluan kepada penganjuran program berkenaan yang bertempat di Stadium Indera Mulia di sini.

"Antara jalan terlibat ialah Jalan Ghazali Jawi, Jalan Kamarudin Isa, Jalan Ashman Shah, Jalan Raja Dihilir, Jalan RM Aziz, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab serta Jalan Dato' Maharajalela.

"Selain itu, Jalan Tun Sambathan, Jalan Sultan Yusof, Jalan Sultan Idris Shah, Persiaran Greenhill, Jalan Sultan Abdul Jalil, Jalan Chin Choon Sam, Jalan Cecil Rae dan Jalan Kompleks Sukan turut terbabit dengan penutupan sepanjang program berlangsung," katanya.

Sehubungan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ipoh diberi tanggungjawab menjalankan kawalan lalu lintas sepanjang kedua-dua program berkenaan berlangsung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan