DUNIA

AS tangkap raja dadah Mexico 'El Mayo' Zambada

26/07/2024 12:21 PM

MEXICO CITY, 26 Julai (Bernama-dpa) -- Ismael "El Mayo" Zambada, tokoh penting dalam kartel Sinaloa dan antara raja dadah paling berpengaruh di Mexico, telah ditangkap di El Paso, sebuah bandar sempadan Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Peguam Negara AS Merrick Garland mengumumkan penangkapan itu pada Khamis, yang turut melibatkan Joaquin Guzman Lopez, anak kepada bekas rakan kongsi Zambada dan ketua kartel terkenal Joaquin "El Chapo" Guzman Loera. 

Menurut laporan media Mexico, kedua-dua Zambada dan Guzman Lopez menyerah diri kepada pihak berkuasa secara sukarela.

Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS telah menawarkan ganjaran sehingga US$15 juta untuk maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan Zambada, 76 tahun. 

Zambada menghadapi pelbagai pertuduhan di AS, termasuk mengeluarkan kokain, heroin, methamphetamine dan fentanyl serta tuduhan membunuh dan pengubahan wang haram.

"El Mayo dan Guzman Lopez menyertai senarai pemimpin dan rakan sekutu Kartel Sinaloa yang semakin meningkat yang diambil tindakan oleh Jabatan Kehakiman di Amerika Syarikat," kata Garland. 

Ovidio Guzman, seorang lagi anak lelaki El Chapo, telah diekstradisi dari Mexico ke AS pada September. 

El Chapo telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup di AS pada 2019.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan