AM

Bancian ESSCOM : 6,200 komuniti Pala'u warganegara Malaysia

26/07/2024 06:45 PM

SEMPORNA, 26 Julai (Bernama) -- Bancian dijalankan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) mendapati 6,200 daripada kira-kira 28,000 orang dalam komuniti Pala’u di Sabah ialah warganegara Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata golongan itu yang mendiami kawasan dilihat sebagai komuniti Pala'u, memiliki sijil lahir sah serta kad pengenalan.

Beliau berkata bakinya terdiri daripada mereka yang dianggap sebagai tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, membabitkan kanak-kanak dan juga ketua keluarga.

“Kita memperakui kewujudan komuniti Pala'u ini di Sabah dan semalam telah diadakan satu mesyuarat mengenai pengurusan warga asing di Sabah, iaitu Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing yang saya pengerusikan bersama Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor).

“Pada mesyuarat itu kami membincangkan kertas tentang komuniti Pala'u, bermula dengan data hasil kajian ESSCOM, kita establish angka mereka,” kata beliau selepas tinjauan keselamatan Kementerian Dalam Negeri ke Zon Selamat Timur Sabah bersama perwakilan asing di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata pada mesyuarat itu, beberapa inisiatif di bawah kerajaan negeri berhubung komuniti Pala’u, telah turut dibentangkan.

Beliau berkata antara inisiatif itu ialah penempatan semula lokasi dikenal pasti iaitu di Pantai Manis di sini, dengan sasaran 50 hingga 100 rumah dibangunkan sebagai kawasan penempatan semula.

Saifuddin Nasution berkata inisiatif lain ialah libat urus bersama ketua keluarga, supaya dapat dikenal pasti mereka yang berminat untuk berkerja dalam sektor perladangan, dan komuniti itu dilaporkan berminat dengan industri akuakultur, pertanian dan pelbagai lagi bidang kemahiran.

“Inisiatif ini sudah dijalankan, anak-anak Pala'u ini ditempatkan di satu pusat di Kota Kinabalu bersama penjaga dan ada dua lagi pusat akan dibuka, bagi memastikan mereka meninggalkan kegiatan mengemis.

“Pusat ini memberikan beberapa latihan bersifat penjagaan diri, termasuk kelas asas untuk mengenal huruf, kerajaan Sabah juga turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan berkaitan pendidikan iaitu Haluan serta Iskul,” kata beliau.

Saifuddin Nasution berkata inisiatif yang dilaksanakan itu merupakan satu perkara yang murni dan jauh lebih baik daripada apa yang cuba digambarkan pihak luar.

“Sudah tiba masanya kita melihat inisiatif ini sebagai satu komitmen tinggi yang ditunjukkan kerajaan negeri,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan