Baru terang tanah, namun Mohd Yusof Ibrahim sudah memulakan perjalanan, membelah kedinginan pagi, dari rumahnya di Tanjung Rambutan ke tempat kerja di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Setibanya di pejabat, dia serta rakan-rakan setugas mendengar taklimat, dan tepat 6.45 pagi masing-masing beredar ke “tempat kerja sebenar” - mengutip sisa pepejal di sekitar bandar raya ini.
Lebih 17 tahun bertugas sebagai Pembantu Am di Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBI, Mohd Yusof, 49 tahun, berkata bukan mudah untuk mereka mengekalkan kebersihan di bandar raya ini, kerana ada sahaja individu tidak bertanggungjawab membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.
“Sikap masyarakat (suka buang sampah merata-rata)… kita dah buat bersungguh-sungguh pun tetap ada lagi sampah, jadi, kita tidak boleh nak buat apa (kerana) sikap manusia,” kongsinya kepada Bernama.
Menurut anak jati Parit Buntar ini, walaupun sepatutnya bekerja hanya lima hari seminggu dan berehat pada Sabtu dan Ahad, dia tetap keluar pada hari-hari berkenaan, kerana selain dapat menuntut elaun kerja lebih masa, kebersihan di kawasan tersebut perlu dijaga.
"Saya jarang ambil cuti, nak tambah pendapatan kena usaha lebih, kita nak cari rezeki. Mahu tidak mahu kita kena buat juga. Kalau kita tidak boleh buat, orang lain tidak akan buat, sebab orang kata itu tanggungjawab kita untuk jaga amanah yang diberi oleh MBI," kata bapa kepada empat cahaya mata itu.
CABARAN BERSIHKAN BANDAR RAYA
Mohd Yusof adalah antara 75 pekerja pembersihan di Unit Kutipan Sisa Pepejal, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBI.
pic-2
Menurut Penyelia unit Shahrir Abd Rahim, mereka menjalankan kutipan setiap hari, tanpa mengira sama ada hujung minggu atau cuti umum.
“Lori bertugas setiap hari, pagi dan petang. Pada sebelah petang kita akan buat kutipan di pusat bandar sahaja. Pagi pula di taman perumahan dan juga pusat bandar.
"Tugas saya ialah mengatur pekerja di bawah seliaan saya agar mereka menjalankan tugas yang ditetapkan, serta mengatur kawasan yang perlu dikutip (sisa pepejal) dan memantau kawasan kutipan yang ditetapkan oleh jabatan,” katanya, menambah beliau dibantu oleh mandur yang bertugas di lapangan.
Mengulas lanjut, beliau berkata antara cabaran yang ditempuh oleh petugas lapangan setiap hari ialah tindakan orang ramai meletak kenderaan sesuka hati, khususnya di kawasan pusat bandar, hingga menyukarkan lori MBI untuk masuk ke lokasi bagi mengutip sampah.
"Kadang-kadang ada (sisa pepejal) yang tertinggal (dan) apabila tertinggal, orang kompelin, dan apabila ada kompelin, orang anggap pihak majlis macam tidak mempedulikan aduan tersebut,” katanya yang meminta kerjasama ahli masyarakat agar turut membantu mempermudah tugas MBI memungut sisa pepejal.
“Selain itu, kami juga berdepan cabaran cuaca. Akan tetapi, baik hujan atau panas, kerja tetap perlu dibereskan,” katanya.
SOP KUTIPAN SAMPAH DI IPOH
Menjelaskan lebih lanjut tentang operasi pengurusan sisa pepejal di agensi itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBI S. Manisegaran berkata tugas berkenaan dilaksana berdasarkan Pelan Induk Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBI 2020-2025.
“Oleh sebab kerajaan negeri Perak tidak menerima guna Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, maka semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini termasuk MBI, masih menjalankan aktiviti pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
pic-3
“Namun, dengan adanya pelan induk itu, serta prosedur operasi standard kutipan sisa pepejal, aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan berkesan,” jelas beliau.
(Akta Pengurusan Sistem Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 atau Akta 672, diperkenalkan bagi memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawalseliaan perkara berkaitan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan di Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.
(Akta ini digubal memandangkan PBT tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk mengendalikan kerja-kerja kutipan dan pelupusan sampah serta perkhidmatan pembersihan jalan, tempat awam, tandas awam serta longkang. Menerusi akta ini, pengusaha perkhidmatan itu perlu memohon kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara bagi mendapatkan lesen berbuat demikian)
Jelas Manisegaran lagi, di MBI, aktiviti pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dibahagi kepada dua bahagian utama, iaitu Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.
Bagi Bahagian Pengurusan Sisa Pepejal, kutipan sisa pepejal dilakukan sendiri oleh MBI dan juga kontraktor luar melibatkan tiga syarikat dilantik, iaitu LTC Alam Bersih Sdn Bhd, Maju Perak Utilities Management Sdn Bhd dan Sulomas Sdn Bhd.
“Bagi kutipan di pusat bandar, pasar awam dan pusat pengumpulan sampah luar kawasan operasi yang dilaksanakan oleh pihak kita (MBI), kekerapan ialah setiap hari, sementara kawasan lain yang diserahkan kepada kontraktor, kutipan dilakukan tiga kali seminggu, mengikut jadual yang dtetapkan,” sambung beliau.
Bahagian Pembersihan Awam pula meliputi kutipan sampah kebun dan pukal secara percuma mengikut jadual serta pembersihan sampah haram.
Bahagian ini juga bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan, iaitu menyapu jalan utama, jalan protokol, jalan di pusat bandar, lorong belakang bangunan, perumahan serta laluan pejalan kaki.
"Aktiviti Bahagian Pembersihan Awam merangkumi 21 zon yang diselia oleh seorang pembantu tadbir, seorang mandur dan purata 20 pekerja pembersihan.
"Bahagian ini dilengkapi 42 unit lori terbuka untuk menggerakkan aktivitinya pada setiap hari," kata beliau, menambah bahagian itu turut melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan seperti gotong-royong dengan agensi lain.
MISI KE ARAH BANDAR RENDAH KARBON DAN “WALKABLE CITY 2030”
Menurut Manisegaran lagi, antara kejayaan yang dicapai oleh jabatan itu dalam usaha merealisasikan Ipoh ke Arah Bandar Rendah Karbon dan “Walkable City 2030”, ialah mengurangkan lokasi longgokan sampah haram di kawasan seliaannya.
Daripada 1,672 lokasi yang dikesan pada 2020, MBI berjaya mengurangkan jumlah itu kepada hanya 120 lokasi pada penghujung 2023.
pic-4
Selain itu, MBI turut memperkenalkan Program Perkhidmatan Sampah Kebun dan Pukal (Percuma) yang dirasmikan pada September 2021 bagi meningkatkan kualiti persekitaran, melibatkan 17 unit lori terbuka bernilai RM3.668 juta dan pelantikan 56 pembantu awam serta 14 orang pemandu.
"Program pengedaran tong sampah percuma kepada warga Ipoh yang dimulakan pada 2021 pula menunjukkan hingga Jun 2024 sebanyak 122,400 unit tong sampah telah diedarkan, melibatkan 355 kawasan perumahan.
"Program ini diharap dapat menerapkan amalan menjaga kebersihan sebagai budaya yang bermula di rumah, dan melahirkan masyarakat yang menghargai serta mengutamakan keindahan persekitaran, seterusnya membendung pembuangan sampah di kawasan tidak sepatutnya,” kata beliau.
Menurut Manisegaran, MBI kini dalam proses peralihan daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran yang menekankan pada pengembalian sumber ke sistem alam sekitar dan ekonomi, melalui inisiatif penggunaan semula dan pencegahan sisa.
Tambah beliau, antara langkah yang dijalankan ialah aktiviti pengumpulan sisa elektronik, minyak masak terpakai, tayar terpakai dan kutipan di pusat kitar semula pandu lalu automatik "Trash4cash".
"Penubuhan pusat kitar semula pandu lalu ‘Trash4Cash’ membuktikan komitmen MBI dan kesungguhan syarikat Maju Perak Utilites Management Sdn Bhd untuk mewujudkan sebuah persekitaran yang bersih, sihat dan sejahtera buat penduduk setempat.
"Kerjasama awam dan swasta ini dilihat sebagai satu langkah yang tepat bagi merealisasikan hasrat MBI ke arah pengiktirafan Ipoh sebagai ‘bandar pintar dan bandar hijau’ 2030,” katanya, menjelaskan pusat Trash4cash itu beroperasi dengan menerima guna aplikasi digital dan tenaga solar sepenuhnya.
KERJASAMA SEMUA PIHAK
Manisegaran berkata bagi memastikan kecekapan kutipan, setiap kontraktor yang dilantik diberikan zon masing-masing, dengan Maju Perak Utilities Management ditugaskan di Zon Meru, Manjoi, Chepor, Chemor dan Khantan;
Sulomas Sdn Bhd pula melibatkan Zon Buntong, Lang, Tawas dan Klebang, sementara LTC Alam Bersih ditugaskan di kawasan-kawasan lain serta pusat bandar.
pic-5
“Buat masa ini, bilangan pekerja bagi kutipan sisa pepejal di kawasan operasi MBI adalah mencukupi dengan jumlah keseluruhan 270 orang melibatkan ketiga-tiga kontraktor,” jelasnya, menambah pekerja terbabit perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, bagi melindungi diri dan risiko kemalangan semasa bekerja.
“Mereka ada SOP sebelum, semasa dan selepas aktiviti yang perlu dipatuhi. Waktu bekerja pula adalah dari 7 pagi hingga 7 malam, iaitu memadai dengan skop tugas mengutip sampah dari tong sampah dan dimasukkan ke dalam lori sampah. Mereka tidak terlibat dalam kerja menyapu atau lain-lain,” tambah beliau.
Dari segi masyarakat pula, beliau berkata MBI sentiasa berusaha meningkatkan tahap kesedaran awam tentang kewajipan menyediakan tong sampah, antaranya dengan mengedarkan risalah panduan sisa pepejal kediaman dan premis perniagaan.
“Selain itu, sejak 2021 hingga sekarang, seramai 253,641 penduduk telah diberi pendidikan kesihatan berkaitan penjagaan kebersihan persekitaran dan tanggungjawab warga Ipoh.
"Program ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi memupuk kesedaran menjaga kebersihan persekitaran. Hingga April 2024, sebanyak 1,756 unit papan tanda ‘Dilarang Membuang Sampah’ didirikan di lokasi-lokasi ‘hot spot’ pembuangan sampah secara haram di sekitar kawasan pentadbiran MBI,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata operasi Unit Anti-Litter yang dijalankan dengan lebih tegas dan kerap, berjaya mengawal kegiatan pembuangan sampah secara haram dengan 1,214 kompaun bernilai RM498,750 dikeluarkan pada 2023.
Bagi tahun ini hingga Mei, sebanyak 623 kompaun bernilai RM161,050 dikeluarkan, melibatkan kesalahan sama.
"Pembinaan Pusat Pengumpulan Sampah Domestik di kawasan kampung juga telah menyumbang kepada pengurangan lokasi 'hot spot' sampah haram. Setakat ini, sebanyak 13 pusat pengumpulan telah dibina dan kutipan sampah dijalankan setiap hari,” jelasnya.
Menurut Manisegaran lagi, inisiatif yang dilaksanakan oleh MBI turut menyaksikan jumlah aduan berkaitan sampah domestik yang diterima daripada ahli masyarakat menurun dengan drastik kepada 819 aduan sahaja tahun lepas, berbanding 3,864 pada 2022.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial