DUNIA

Bursa Malaysia Kekal Dalam Fasa Konsolidasi Dengan Kecenderungan Meningkat Minggu Depan

27/07/2024 10:18 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka kekal dalam fasa konsolidasi, dengan kecenderungan meningkat buat masa ini, sehingga terdapat pemangkin baharu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun konsolidasi jangka pendek ini, trend jangka panjang kekal meningkat berikutan indeks masih terus melebihi purata pergerakan eksponen (EMA) 50 hari.

“Kami menjangka sektor yang perlu diberi tumpuan pada minggu depan ialah perladangan, tenaga dan bank berdasarkan penilaiannya yang menarik.

“Oleh itu, kami menjangka indeks akan turun naik dalam julat 1,605-1,625 minggu depan dengan paras sokongan berada pada 1,600, diikuti 1,592,” katanya kepada Bernama.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI merosot 23.67 mata kepada 1,612.88 daripada 1,636.55 minggu lepas. 

Pada minggu ini, Bursa Malaysia mencatatkan turun naik, bermula rendah berikutan aktiviti pengambilan untung dan kelembapan pasaran serantau. Ia meningkat semula dalam tempoh yang singkat berikutan pelabur membeli saham mewah terpilih tetapi kembali rendah disebabkan jualan besar-besaran di peringkat global.

Pasaran mencatatkan penurunan berikutan impak negatif Wall Street dan rendah semasa mengakhiri minggu ini dengan dagangan berhati-hati dalam persekitaran ketidaktentuan global.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 195.53 mata kepada 12,463.73, Indeks FBMT 100 jatuh 181.86 mata kepada 12,050.56, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 295.95 mata kepada 12,741.15, Indeks FBM 70 susut 297.86 mata kepada 18,530.15 dan Indeks FBM ACE turun 140.12 mata kepada 5,794.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 0.86 mata kepada 17,971.92, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 5.17 mata kepada 191.85, Indeks Tenaga berkurangan 9.46 mata kepada 966.13 dan Indeks Perladangan menyaksikan penurunan yang ketara sebanyak 80.66 mata kepada 7,144.19.

Bagi minggu baru berakhir, jumlah dagangan merosot kepada 23.24 bilion unit bernilai RM15.63 bilion daripada 25.23 bilion unit bernilai RM18.85 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 12.38 bilion saham bernilai RM13.40 bilion daripada 14.21 bilion saham bernilai RM16.42 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran susut kepada 6.10 bilion unit bernilai RM745.77 juta daripada 6.32 bilion unit bernilai RM2.23 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 4.75 bilion saham bernilai RM1.48 bilion daripada 4.69 bilion saham bernilai RM1.61 bilion sebelum ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan