SUKAN

Fokus dalam perlumbaan, pesan Josiah kepada Nurul Izzah

27/07/2024 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Kekalkan berada dalam keadaan yang baik dan tajamkan minda.

Itu merupakan pesanan dari bekas atlet Olimpik tiga kali Josiah Ng kepada pelumba basikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang akan membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik di Paris.

Walaupun beliau tidak menjangkakan Nurul Izzah akan berlumba di final, tetapi Josiah masih percaya atlet berusia 20 tahun itu akan berlumba dengan baik di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines selagi dia menyerapkan dua elemen itu dalam dirinya.

“Ini merupakan Olimpik pertamanya dan dia berada di tempat yang hebat kerana apa sahaja yang dilakukan melebihi jangkaan merupakan kejayaan baginya.

“Jadi Nurul perlu belajar menyerap tekanan dan jika beliau berlumba secara bijak, dia boleh mendapat sedikit tuah dalam acara keirin wanita,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain dari Nurul Izzah yang juga dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketwoman’, skuad berbasikal trek negara akan menampilkan pemenang dua pingat Olimpik  Datuk Mohd Azizulhasni Awang serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Acara berbasikal trek akan bermula dari 5 hingga 11 Ogos.

Sukan Olimpik Paris 2024 yang bermula dengan bergaya di sepanjang Sungai Seine dan berakhir di Menara Eiffel yang ikonik pada Jumaat akan berlangsung sehingga 11 Ogos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan