AM

Ar Rahman imbau nostalgia dengan lagu popular 1990-an dalam konsert di KL

28/07/2024 12:16 AM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Komposer muzik India AR Rahman mengimbau nostalgia kepada kira-kira 35,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi persembahan bertenaga yang menampilkan lagu-lagu popular beliau pada 1990-an.

Konsert Rahman Live in KL 2024 yang bermula pada 8.25 malam itu menampilkan Rahman, seorang penyanyi, pencipta lagu dan penerbit muzik tersohor, mendendangkan lagu popular seperti Jai Ho dari filem Slumdog Millionaire.

Dianjurkan oleh Star Planet, konsert itu dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan serta Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj. 

Semasa konsert itu, Rahman memuji Anwar kerana sikapnya yang mudah didekati dan menyifatkan beliau sebagai “seorang yang simple.”

Konsert itu, yang menampilkan gabungan lagu-lagu Hindi dan Tamil, telah dibawakan bersama oleh Thamarai Jewels dan SRM International Real Estate LLC.

Penyanyi Tamil popular Mano telah membawakan lagu Mukkala Mukkabla dari filem Kadhalan serta beberapa lagu lain gubahan Rahman untuk filem Thiruda Thiruda dan Muthu

Penyanyi Srinivas dan Swetha Mohan pula mendendangkan beberapa lagu popular dari filem Padayyappa.

Rahman turut mengetengahkan projek kumpulan meta beliau iaitu Secret Mountain yang menggabungkan muzik, animasi dan penceritaan interaktif secara maya. 

Beliau memulakan kerjaya dalam industri perfileman India pada 1992 dan diraikan sebagai antara pemuzik paling berpengaruh di negara itu serta telah memenangi dua anugerah Akademi untuk karyanya pada tahun 2009 menerusi filem Slumdog Millionaire.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan