DUNIA

Kapal bantuan keempat UAE untuk Gaza tiba di Pelabuhan Al Arish

28/07/2024 01:02 PM

AL ARISH, 28 Julai (Bernama-WAM) -- Kapal bantuan keempat Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk Gaza tiba pada Khamis di pelabuhan Arish di wilayah Sinai Utara, Mesir sebagai persediaan untuk memasukkan kargonya ke Semenanjung Gaza melalui lintasan Rafah, dengan penyelarasan pihak berkuasa Mesir.

Ia berlayar dari pelabuhan Fujairah di UAE pada 8 Julai sebagai sebahagian daripada Operasi "Chivalrous Knight 3," yang dilancarkan negara berkenaan untuk menyokong rakyat Palestin di Gaza di tengah-tengah keadaan sukar yang mereka alami, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

Kapal itu adalah yang keempat tiba di Arish sebagai sebahagian daripada inisiatif “Chivalrous Knight 3” dan kapal bantuan kelapan UAE ke Semenanjung Gaza. Ia juga merupakan kapal bantuan UAE terbesar yang dihantar ke Gaza dari segi kargo dan kepelbagaian kandungan.

Kapal itu membawa 5,340 tan bantuan dan bekalan makanan, termasuk 4,134 tan bungkusan makanan, 145 tan beras dan tepung, 110 tan air yang diedarkan dalam 200,000 bungkusan, lebih 4,000 khemah, 42,000 bungkusan kesihatan untuk wanita dan kanak-kanak, 18 tan perlindungan matahari, angin dan debu serta 1,600 beg bantuan.

Kargo kapal itu disediakan oleh Bulan Sabit Merah Emirates (ERC), Zayed bin Sultan Al Nahyan Charitable and Humanitarian Foundation dan Yayasan Khalifa bin Zayed Al Nahyan yang diangkut oleh 313 trak yang memunggah kargo mereka ke atas kapal.

Setiausaha Agung ERC Rashid Mubarak Al Mansouri berkata: “Sejak permulaan keadaan sukar yang dialami oleh saudara kita di Palestin, UAE terus memenuhi peranan kemanusiaan dan bantuan dalam membantu mereka dengan semua cara yang ada, selaras dengan arahan Presiden Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan untuk meringankan penderitaan keadaan kemanusiaan yang dialami oleh penduduk di Semenanjung Gaza.”

Al Mansouri menekankan bahawa ketibaan kapal keempat ke Semenanjung Gaza adalah langkah penting, kerana ia adalah yang terbesar dari segi kargo dan kepelbagaian bantuan, yang meliputi pelbagai keperluan rakyat Palestin.

Sebagai sebahagian daripada Operasi “Chivalrous Knight 3”, UAE telah melancarkan beberapa inisiatif, termasuk penubuhan dua hospital medan, satu di dalam Semenanjung Gaza dan satu lagi hospital terapung di luar pantai bandar Al Arish, sebagai tambahan kepada penubuhan lima kedai roti.

Tepung juga telah disediakan kepada lapan kedai roti sedia ada di Gaza dan enam loji penyahgaraman telah ditubuhkan yang menghasilkan 1.2 juta gelen sehari, yang dipam ke dalam Semenanjung Gaza dan memberi manfaat kepada lebih 600,000 orang.

Komando Operasi Bersama juga telah melancarkan Operasi "Birds of Goodness" untuk menghantar bantuan kemanusiaan melalui udara ke kawasan terpencil di utara Semenanjung Gaza yang tidak dapat diakses melalui darat. 

Jumlah keseluruhan bantuan yang telah digugurkan menerusi udara setakat ini ialah 3,382 tan bekalan bantuan dan kemanusiaan.

-- BERNAMA-WAM

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan