AM

Karnival Uda 2024@penang: Sasar Jualan Hartanah Rm37 Juta, Tampil Kelainan

28/07/2024 07:33 PM

BUKIT MERTAJAM, 28 Julai (Bernama) -- UDA Holdings Berhad menyasarkan jualan hartanah bernilai RM37 juta sepanjang tiga hari penganjuran Karnival UDA 2024@Penang, dengan memfokuskan kepada rangkaian produk hartanah terbaharu untuk semua generasi dari utara ke selatan Semenanjung dan Sarawak.

Pengerusi UDA Holdings Berhad Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata selaku peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset, pihaknya menumpukan kepada 13 produk yang merangkumi pelbagai segmen hartanah pada karnival tiga hari yang bermula Jumaat lepas.

“Ia termasuk rumah mampu milik, rumah kategori terbuka, lot niaga serta ruang kedai pejabat seperti Kuala Terengganu Golf Resort (Fasa 6 Pakej 1) di Kuala Terengganu, Pelindung Heights (Fasa 1B Pakej 4) di Kuantan, serta Areca Terrace (Fasa 4B) dan UDA Heights (Fasa 1C ) di Bandar UDA Utama.

“Selain itu, kita juga dalam perancangan melancarkan beberapa produk lagi pada tahun ini seperti Mawar @ Taman Sultan Sallehuddin di Alor Setar, Neu Pendington (Fasa 1A dan Fasa 1B) di Kuching, Crescent Dew (Fasa 1B) dan Crescent Dew Commercial di Kepala Batas, Wakaf Seetee Aisah 2 (kedai pejabat) di Seberang Jaya, Taman Sena Permai di Kangar, Sedili Residensi di Kota Tinggi, 21 BizHUB di Bandar UDA Utama serta Residensi Akasia Raya di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Karnival UDA 2024@ Penang di tapak parkir Gravitas Jalan Baru Prai di sini, hari ini yang disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Mohd Salem Kailany.

Karnival UDA 2024 yang masuk tahun ketiga penganjurannya tahun ini, telah membuka tirai jelajah ke Pulau Pinang dengan menampilkan beberapa kelainan dan konsep baharu, bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung selain menampilkan tujuh zon merangkumi Pavilion UDA, Ruang Rasa, Aura Wanita, Maskulin, Fiesta Bakat, Pa & Ma serta jualan pelbagai.

Mohd Annuar berkata keunikan yang diketengahkan pada karnival tahun ini juga diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung, seterusnya mencapai dua matlamat utama penganjurannya iaitu memperkasa usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar lebih mampan dan berdaya saing.

Selain itu, membantu komuniti setempat mendapatkan produk hartanah UDA yang bersesuaian selaras dengan fokus UDA, iaitu menggalakkan pemilikan hartanah di kawasan bandar.

“Menerusi penganjuran Karnival UDA 2024 @ Penang ini, UDA menyasarkan pembabitan 160 usahawan dengan sasaran nilai jualan berjumlah RM2.5 juta,” katanya.

Mohd Annuar berkata UDA selaku agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), mengaspirasikan karnival itu bagi menggiatkan perkembangan usahawan PMKS melalui dua insentif utama, iaitu Program Insentif Usahawan UDA (PIUU) dan Program Pemerkasaan Usahawan.

Beliau berkata perkara itu selari dengan penjenamaan UDA iaitu LIFE (Legacy, Integrated, Finesse dan Enrich) atau Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa, dalam menyumbang ke arah kelestarian UDA serta bersama meneruskan legasi UDA sekali gus memperkasa ekonomi MADANI.

“Pelbagai tarikan baharu turut dibawakan bersempena karnival tersebut, antaranya kolaborasi UDA dengan rakan-rakan strategik seperti Majlis Sukan Negara, Ideaktiv, DC Healthcare Holdings Berhad, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), CelcomDigi dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi menyalurkan maklumat bermanfaat kepada pengunjung,” katanya.

Mohd Annuar berkata kerjasama itu dapat membuka peluang padanan perniagaan, selain meluaskan skop perniagaan dan perkongsian ilmu agar dapat memenuhi keterangkuman sosial serta kesaksamaan peluang khususnya dalam kalangan usahawan asnaf dan kurang upaya.

Pelbagai gerai jualan usahawan, pameran agensi kerajaan dan rakan strategik, aktiviti sukan, konsert dan Jualan Madani oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut disediakan, sepanjang karnival berlangsung dengan sasaran kehadiran 100,000 pengunjung.

Bersempena karnival itu juga, UDA menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares menyalurkan sumbangan zakat wakalah berjumlah RM30,000 kepada 10 usahawan asnaf di Pulau Pinang dan mengagihkan RM128,450 menerusi Sumbangan Program UDA Cares untuk Tabung SSPN Prime kepada hampir 1,500 pelajar yang layak.

Selepas Pulau Pinang, Karnival UDA 2024 akan menjelajah ke Lembah Klang pada 27 hingga 29 Sept, diikuti Johor (11 hingga 13 Okt) dan Sarawak (25 hingga 27 Okt).

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan