AM

Sekolah Rintis Johor Diyakini Tingkat Kualiti Pendidikan - Mb

28/07/2024 11:03 PM

JOHOR BAHRU, 28 Julai (Bernama) -- Sekolah rintis Johor yang bakal diperkenalkan kerajaan negeri pada tahun depan, diyakini dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan kejayaannya dijangka dapat dilihat dalam tempoh satu atau dua tahun. 

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata guru-guru yang terlibat akan dipersiap dengan kurikulum dan ilmu yang diperlukan sebelum program bermula pada Februari 2025.

Beliau berkata cadangan gerak kerja yang akan dilaksanakan berhubung sekolah rintis itu juga telah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan gerak kerja itu sedang diperhalusi pihak Kementerian Pendidikan (KPM).

“Saya ada keyakinan, menerusi kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan, program ini boleh berjaya dan meningkatkan kualiti pendidikan sekurang-kurangnya di empat sekolah (yang akan terlibat),” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin serta Pengarah Pendidikan Johor Mohd Hanafi Samad.

Semalam Onn Hafiz dilaporkan berkata kerajaan negeri berhasrat melancarkan sekolah rintis Johor bagi mencorakkan masa depan pendidikan Bangsa Johor yang lebih maju dan berdaya saing.

Beliau berkata langkah itu adalah selari dengan titah Tunku Mahkota Ismail yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti.

Menurut Onn Hafiz sebagai permulaan, ia akan melibatkan dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah yang akan ditentukan Jabatan Pendidikan negeri dan tumpuan khusus akan diberikan terhadap penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Bahasa Inggeris.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan