JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Johor Sita 1,635 Tan Metrik Minyak Masak, Syarikat Pembungkusan Simpan Lebih Had

28/07/2024 11:27 PM

JOHOR BAHRU, 28 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menyita 1,635.3 tan metrik pelbagai jenis minyak masak di sebuah syarikat membungkus minyak masak di Kulai, pada Rabu.

Pengarahnya Lilis Saslinda Pornomo berkata sitaan dilakukan, selepas didapati menyimpan minyak masak melebihi dari had kuantiti simpanan yang diluluskan di bawah Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) Borong.

Beliau berkata tindakan itu diambil hasil pengauditan yang dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa dari Ibu Pejabat KPDN Putrajaya ke atas dokumentasi urus niaga penjualan minyak masak syarikat tersebut, sebelum pemeriksaan dijalankan oleh sepasukan penguat kuasa KPDN Johor bagi mendapatkan maklumat, termasuk meminta pengisytiharan stok di bawah Sekyen 8, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dikemukakan syarikat itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati kuantiti minyak masak yang berada di alamat perniagaan tersebut melebihi dari had kuantiti simpanan minyak masak yang diluluskan di bawah Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) Borong.

“Oleh yang demikian, pasukan serbuan telah mengambil satu tindakan kes dan menyita sekitar 1,635.3 tan metrik pelbagai jenis minyak masak dan beberapa dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut. Nilai keseluruhan jumlah rampasan dianggar mencecah sehingga RM8.47 juta,” katanya pada kenyataan hari ini.

Lilis Saslinda berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan pelanggaran Peraturan 9(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan