AM

Jangan Jadikan Doa Qunut Nazilah Alat Politik - PM Anwar

29/07/2024 05:43 PM

IPOH, 29 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak pembangkang kerana menggunakan doa Qunut Nazilah sebagai alat politik. 

Anwar berkata doa sepatutnya digunakan pada jalan yang betul untuk kebaikan dan bukan mendoakan keburukan kepada pihak lain. 

“Doa ini bukan politik sebab itu mufti beri pandangan. Ini kata kita tak setuju doa...siapa kata kita tidak setuju doa? Hari-hari kita doa, lepas solat kita doa, tapi bukan doa melaknat orang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Kenduri MADANI di Taman Koperasi Perpaduan 2, Tambun di sini hari ini.

Pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, dilaporkan ahli Parlimen pembangkang membaca Qunut Nazilah selepas Dewan Rakyat menggantung Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad selama enam bulan.

Doa itu diketuai Ahli Parlimen Jasin daripada PAS Zulkifli Ismail yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Tindakan itu mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang menyifatkan bacaan Qunut Nazilah untuk mendoakan kehancuran seteru politik sebagai amalan ekstremis dan pelampau.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal menafikannya dan berkata bacaan doa itu ditujukan kepada penyokong genocide seperti syarikat pelaburan BlackRock. 

Sementara itu, Anwar mempersoalkan mengapa ahli Perikatan Nasional (PN) tidak membacakan doa Qunut Nazilah ketika zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang melaburkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kira-kira RM600 juta kepada BlackRock.

“Ketika 2020, PN, PAS dan Bersatu, dia bagi BlackRock RM600 juta, duit mana? Duit KWSP, kenapa ketika itu tak salah, kenapa tak baca doa Qunut Nazilah?” soal Anwar.

Anwar juga berkata pembangkang sepatutnya mendoakan yang baik dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan kerana kapal dari Israel tidak dibenarkan memasuki negara ini. 

Sementara itu, Anwar meluluskan peruntukan RM200,000 bagi pembinaan jalan di sekitar Masjid Ar-Rashid di Taman Koperasi Perpaduan 2, Tambun.

Perdana Menteri kemudian meluangkan masa menyantuni mangsa kebakaran 10 unit rumah di Kampung Manjoi dan menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada setiap isi rumah yang terlibat.

Beliau turut meninjau lokasi kebakaran tersebut dan mendengar taklimat daripada pasukan bomba.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, 10 unit rumah musnah melibatkan 15 mangsa daripada enam keluarga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan