AM

Pengambilalihan Pelabuhan Bintulu tidak beri kesan kepada pendapatan k'jaan Persekutuan

29/07/2024 07:42 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Pengambilalihan pemilikan Pelabuhan Bintulu oleh kerajaan Sarawak tidak akan menyebabkan sebarang perubahan kepada hasil pendapatan kerajaan Persekutuan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Hasbi berkata ini kerana entiti yang akan mengambil alih pengurusan dan pengoperasian Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) akan terus menyumbang hasil kepada kerajaan Persekutuan melalui pembayaran cukai. 

Beliau turut memberi jaminan bahawa pengambilalihan tersebut juga tidak akan memberi kesan kepada tenaga kerja Pelabuhan Bintulu yang rata-rata merupakan petugas tempatan berkemahiran tinggi. 

“Pekerja yang sama dengan kemahiran masing-masing akan meneruskan pelaksanaan pengoperasian, (pelabuhan tersebut),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 di Dewan Negara hari ini. 

RUU yang bertujuan memansuhkan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 dan membubarkan Lembaga Pelabuhan Bintulu tersebut kemudian diluluskan Dewan Negara dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan lapan senator.

Turut diluluskan, RUU Pengisytiharan suatu Kawasan dalam Daerah Bintulu menjadi suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 bagi memansuhkan Akta Pengisytiharan suatu Kawasan dalam Daerah Bintulu menjadi suatu Port Persekutuan 1979 (Akta 217) disebabkan perubahan dasar kerajaan untuk menukar status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri. 

Hasbi berkata sebarang liabiliti BPA ekoran pengambilalihan itu sama ada dalam bentuk kewangan atau prosiding mahkamah, akan diperincikan ketika proses rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak. 

Beliau berkata kedua-dua pihak kemudian akan membincangkan suatu tempoh yang wajar bagi menyelesaikan sebarang liabitli yang berkenaan. 

“Peruntukan mengenai liabiliti adalah sebagaimana Fasal 4 RUU ini iaitu ia akan tertakluk kepada perundingan yang akan disusul antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak dengan persetujuan bertulis. 

“Merujuk kepada Fasal 9 pula, sekiranya terdapat sebarang liabiliti dalam bentuk prosiding mahkamah yang masih belum selesai selepas tarikh penyerahan, ia akan dilunaskan oleh kerajaan Persekutuan setelah prosiding itu selesai,” katanya.

Hasbi berkata ketika ini terdapat satu prosiding mahkamah yang melibatkan BPA sedang berlangsung dan jumlah yang perlu ditanggung masih tidak dapat diputuskan kerana ia tertakluk kepada keputusan mahkamah, sama ada lembaga tersebut bertanggungan atau tidak. 

Penukaran status Pelabuhan Bintulu adalah susulan satu memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Timbalan Premier merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada 22 Mac lepas.

Loke berkata penukaran status pelabuhan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menegakkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan melaksanakan perkara yang terkandung di dalamnya.

Beliau berkata Pelabuhan Bintulu diyakini akan terus menjadi pelabuhan utama bukan saja kepada Sarawak tetapi juga Malaysia sebagai pelabuhan gas asli cecair (LNG) terulung dan dapat diperbesarkan lagi untuk menyokong industri minyak dan gas di Bintulu serta perindustrian di Sarawak.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan