EKONOMI

Pendapatan eksport industri koko capai RM4.8 bilion setakat Mei bagi tahun ini

29/07/2024 07:49 PM

KENINGAU, 29 Julai (Bernama) -- Industri koko Malaysia mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan pendapatan eksport mencapai RM4.8 bilion sehingga Mei bagi tahun ini.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menjelaskan jumlah itu adalah 58 peratus daripada pendapatan eksport sebanyak RM8.2 bilion yang dicatatkan tahun lepas.

“Ini jelas menunjukkan kepentingan industri ini dalam memangkinkan ekonomi negara,” tambah KPK dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Isnin.

Kenyataan itu sempena lawatan kerja turun padang Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani bertemu pekebun kecil koko di Kampung Liau Ulu di sini.

Pada majlis itu, Johari turut merasmikan Kursus Teknologi Pascatuai dan Pemantapan Kelompok Koko dan Mini Pemprosesan Koko Kampung Liau.

Menurut kementerian itu kawasan pedalaman Sabah menunjukkan pencapaian pengeluaran koko yang baik dengan menyumbang 37.5 peratus kepada jumlah pengeluaran koko negara.

Sejumlah pekebun kecil koko di sini juga berjaya mengeluarkan hasil koko yang tinggi iaitu lebih 1,000 kilogram per hektar setahun berbanding produktiviti nasional sebanyak 100 kilogram per hektar setahun, tambah KPK.

“Sebahagian biji koko dari kawasan ini menjadi pilihan dan dibeli oleh pengeluar coklat single origin dan pemproses daripada biji koko sehingga menjadi bar coklat,” menurutnya.

Single origin koko bermaksud asal usul koko tersebut dapat dijejaki termasuk profil petani yang mengeluarkanya serta geografi persekitaran kebun yang menghasilkan koko itu.

Bagi menyokong pembangunan koko di pedalaman Sabah, Lembaga Koko Malaysia (LKM) sedang melaksanakan program pembangunan seperti pemulihan kebun koko, pembinaan mini pemprosesan biji koko serta menyampaikan teknologi pengurusan kebun koko melalui aplikasi teknologi dan mekanisasi, jelas KPK.

“Mini pemprosesan koko Kampung Liau Ulu telah siap dibina dengan kos sebanyak RM70,000 dan dimanfaatkan oleh 80 orang pekebun kecil koko di kawasan sekitarnya.

“Sasaran pengeluaran adalah 100 tan biji koko kering dan dijangka mampu memberi keuntungan melebihi RM200,000 setahun berdasarkan harga masa kini,” jelas kementerian itu.

KPK memaklumkan dalam meningkatkan dan menarik minat penglibatan belia terhadap penanaman koko, LKM mewujudkan Kelab Belia Koko dengan ahlinya akan didedahkan kepada peluang menimba ilmu dan menambah pendapatan menerusi industri itu.

“Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor penanaman koko pada masa hadapan,” tambahnya.

KPK menjelaskan pihaknya sentiasa mendukung pelbagai inisiatif yang dilaksanakan LKM dalam memastikan industri koko berdaya saing serta lebih produktif sejajar dengan sasaran yang ditetapkan dalam Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030).

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan