JENAYAH & MAHKAMAH

AGC Tolak Representasi Warga Israel Kaji Tuduhan Miliki Senjata, Peluru

30/07/2024 01:12 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan warga Israel, Avitan Shalom bagi mengkaji semula dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan memperdagangkan enam senjata api yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam ketika memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Norina Zainol Abidin berkata representasi itu telah diserahkan kepada AGC pada 8 Julai lepas.

Mohamad Mustaffa turut memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain untuk pengurusan kes kerana terdapat dua lagi dokumen belum diserahkan kepada pembelaan iaitu laporan kamera litar tertutup (CCTV) dan analisis laporan forensik.

“Susulan itu, saya mencadangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan dalam prosiding lalu, dikekalkan,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 30 Sept, 1 hingga 3 Okt dan 7 hingga 11 Okt ini untuk perbicaraan.

Mahkamah hari ini turut menetapkan 2 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, peguam Datuk Naran Singh yang sebelum ini mewakili Avitan, 38, berkata beliau tidak lagi mewakili lelaki warga Israel itu atas sebab peribadi. 

"Saya tidak lagi hadir bagi pihaknya, tetapi dia (tertuduh) akan diwakili seorang lagi peguam, Jeffrey Ooi," katanya.

Ooi yang hadir di mahkamah hari ini mengesahkan perkara berkenaan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9x19 (Nombor Siri AEGS286), Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463), Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496), Glock 17 Gen4 Austria 9x19 (Nombor Siri: BDZZ090), M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304). 

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara  6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan