AM

Hentikan Isu Sumbangan Kepada Sekolah - Fadhlina

30/07/2024 04:50 PM

SEREMBAN, 30 Julai (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meminta semua pihak menghormati keputusan Jemaah Menteri yang mengekalkan garis panduan sedia ada bagi penganjuran program dan penyaluran sumbangan kepada sekolah.

“Saya fikir sudah cukup dengan penegasan dibuat keputusan Jemaah Menteri...saya tidak fikir ada lagi isu berbangkit, kita kekal dengan penegasan tersebut.

“Keputusan itu terbaik untuk semua, kita dah boleh hentikan isu ini dan berikan tumpuan kepada perkara yang lebih penting,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemasyhuran Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz di sini hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju untuk mengekalkan garis panduan sedia ada bagi penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.

Menurut kenyataan itu, antara garis panduan tersebut menggariskan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.

KPM memaklumkan mesyuarat itu juga mengambil pendirian untuk memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan dana menerusi Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan yayasan sepertimana diamalkan sejak pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Sebelum itu, isu berhubung sumbangan kepada sekolah timbul susulan konsert amal di sebuah sekolah Cina di Sepang baru-baru ini dilaporkan melibatkan penajaan dan sumbangan syarikat minuman keras.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan