JENAYAH & MAHKAMAH

PM Anwar Tidak Pernah Keluar Kenyataan Kerajaan M’sia Pro Israel - Saksi

30/07/2024 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Malaysia pro kepada Israel, sepanjang beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

Bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Luar Datuk Zahairi Baharim memaklumkan perkara itu merujuk kepada penyata rasmi Dewan Rakyat (Hansard) bertarikh 16 Okt 2023, iaitu penerangan daripada Anwar menyatakan ketegasan kerajaan Malaysia terhadap kezaliman, penindasan dan pemerasan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

“Isu Palestin dikendalikan oleh Kementerian Luar dan kementerian berkenaan akan menyediakan jawapan bersama pasukan dan diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri.

“Kami di Kementerian Luar diminta untuk memberikan penerangan berkenaan situasi di Gaza di Pejabat Perdana Menteri pada 9 pagi sebelum Perdana Menteri pergi ke Parlimen dan saya hadir semasa penerangan itu,” katanya yang kini memegang jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Jabatan Perkhidmatan Awam.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, pada perbicaraan kes Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Wan Muhammad Azri didakwa mengeluarkan kata-kata menghasut bahawa kerajaan pro kepada Israel dan barat di laman Facebook Halid Hamidi (Halid Mat Kool), dan ia dilihat oleh individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini pada 1 tengah hari 8 Nov 2023.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung 18 Okt.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan