AM

China Eastern Lancar Penerbangan Terus Dari Yantai Ke Kuala Lumpur

30/07/2024 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Syarikat Penerbangan China Eastern telah melancarkan penerbangan terus pertamanya dari Yantai, Shandong ke Kuala Lumpur pada 28 Julai (Ahad), menandakan peningkatan ketara dalam hubungan antara Malaysia dan China.

Menerusi catatan Facebook, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menekankan bahawa pelancaran laluan ini mempamerkan pencapaian baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-China dan akan menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan Malaysia.

“Semasa misi pemasaran ke China pada Januari, saya berpeluang makan bersama dan bertukar-tukar idea dengan Pengerusi China Eastern Airlines Group Wang Zhiqing.

“Beliau memberi respons positif dan menyatakan bahawa syarikat penerbangan itu sedang meneroka kemungkinan membuka penerbangan terus tambahan dari bandar raya di China ke Malaysia dengan harapan mendapat kerjasama baik daripada agensi kami bagi memastikan pelancaran laluan ini berjalan lancar,” katanya.

Tiong juga menyatakan bahawa semasa lawatannya ke ibu pejabat China Eastern Airlines Group di Shanghai pada 30 Mei lepas, beliau mengetahui tentang rancangan syarikat penerbangan itu untuk membuka beberapa laluan baharu pada separuh kedua tahun ini, termasuk laluan yang baru dilancarkan dari Yantai.

“China Eastern kini satu-satunya syarikat penerbangan menawarkan penerbangan terus dari Yantai ke Kuala Lumpur yang merupakan pencapaian bersejarah,” tambah beliau.

Tiong menggesa Tourism Malaysia untuk memanfaatkan sambungan baharu ini dengan meningkatkan aktiviti promosi dan membangunkan lebih banyak produk berkaitan pelancongan untuk menarik pelancong China.

Beliau menekankan bahawa usaha ini adalah penting untuk mencergaskan semula pasaran pelancongan Malaysia dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam satu kenyataan berkata laluan baharu Syarikat Penerbangan China Eastern yang menghubungkan Yantai dan Kuala Lumpur akan beroperasi dua kali seminggu menggunakan pesawat Airbus A320 yang boleh memuatkan 152 penumpang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan