PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang memohon peruntukan menerusi Belanjawan 2025 untuk membuka lebih banyak Baitul Mahabbah iaitu fasiliti menempatkan kanak-kanak warga asing berusia bawah 10 tahun, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata pada masa ini tiga Baitul Mahabbah yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan; Papar, Sabah; dan Bekenu, Sarawak; telah beroperasi, manakala tiga lagi Baitul Mahabbah, iaitu di Kedah, Kelantan dan Johor dijangka dibuka tahun ini.
“Tahun ini sebelum tutup tirai kami akan wujudkan enam Baitul Mahabbah, jadi kalau kami berjaya tunjuk (buka) enam, saya akan minta ketua setiausaha kementerian dalam perbincangan bajet nanti minta lagi tambahan peruntukan untuk kami teruskan pada tahun hadapan.
“Kami belum muktamadkan lagi (berapa yang akan dibuka tahun hadapan), tapi tak boleh kurang dari enam (jumlah Baitul Mahabbah yang dibuka tahun ini), bergantung pada bajet,” katanya kepada media selepas Sambutan Hari Menentang Pemerdagangan Manusia Sedunia di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata pada masa ini, seramai 170 kanak-kanak warga asing ditempatkan di tiga Baitul Mahabbah dan mereka akan dihantar pulang sebaik sahaja dokumen perjalanan mereka siap.
Sementara itu, beliau berkata dalam ucapannya kerajaan berharap dapat menempatkan kesemua kanak-kanak warga asing di Baitul Mahabbah.
“Idealnya adalah dapat keluarkan kesemua kanak-kanak daripada depoh tahanan imigresen kepada satu premis di mana di situ mereka akan dapat peluang pendidikan informal, program penjagaan kesihatan diri, beraktiviti dan melakukan program yang jauh lebih baik berbanding ditempatkan terus dengan orang dewasa lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata KDN akan berusaha memenuhi 16 perkara penambahbaikan dan pelan tindakan seperti yang dicadangkan dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) Mengenai Pemerdagangan Orang 2024, bagi memastikan kedudukan negara berada pada Tahap 1.
“Pagi tadi waktu meluncurkan bulan keselamatan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) malah menyinggungkan, beliau berkata sementara pencapaian Tahap 2 itu kita boleh raikan, boleh kita banggakan, soalannya apa selepas itu?
“Kita cuma ada satu pilihan. Kita kena usaha untuk menjengah Tahap 1 yang kita belum pernah sampai...tak salah menyimpan impian dan sasaran kerana ia sesuatu yang realistik dengan syarat kita tahu bahawa laporan lepas yang meletakkan kita pada kedudukan Tahap 2.
“Laporan itu didatangkan dengan lapan aspek positif yang kita capai, tujuh aspek negatif yang kita kena baiki, 16 perkara tumpuan yang kalau kita boleh patuhi (dan) penuhi, maka sasaran Tahap 1 bukanlah satu yang mustahil,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata Malaysia telah merangka tiga fokus utama bagi memastikan sasaran mendapat penarafan Tahap 1 dapat dicapai.
Tiga fokus utama itu ialah mempertingkatkan kerjasama antara agensi, memperhebat usaha mengenal pasti dan melindungi mangsa serta menambah baik proses pendakwaan terhadap pelaku jenayah pemerdagangan orang.
Pada 25 Jun lepas, JNAS melaporkan Malaysia dinaik taraf ke Tahap 2 dan KDN menyifatkan peningkatan itu strategik dan signifikan kerana Malaysia sebelum ini dinilai pada Tahap 3 Pemerhatian pada 2023 dan kali terakhir berada di Tahap 2 adalah pada 2017.
Tahap 2 ditakrifkan sebagai tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum AS dalam menghapuskan pemerdagangan manusia, tetapi ada usaha signifikan untuk mematuhinya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial