AM

Program Anjuran MCMC Diiktiraf MBOR

30/07/2024 10:49 PM

CYBERJAYA,  30 Julai (Bernama) -- Malaysia Book of Records (MBOR) telah mengiktiraf Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kerana menjadi perintis kepada First Multiplayer Metaverse Induction Programme iaitu MetaHRise.

Ketua Pegawai Operasi MBOR Jwan Heah menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Pengerusi Eksekutif MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dalam satu majlis, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Urusan MCMC Datuk Zulkarnain Mohd Yasin.

Dilancarkan pada Februari 2024, MetaHRise menyasarkan untuk mengubah amalan lama sumber manusia dengan menawarkan pekerja baharu MCMC suatu permulaan yang menarik dan interaktif untuk kerjaya mereka di suruhanjaya itu, menurut MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan MCMC itu memaklumkan, MetaHRise menawarkan pengenalan yang komprehensif kepada fungsi suruhanjaya itu, aktiviti kawal selia dan inisiatif menerusi pengalaman yang menarik.

“Pengalaman digital yang inovatif ini bersedia untuk mengubah perjalanan penerimaan pekerja baharu di MCMC,” menurut kenyataan itu.

Mengulas mengenai MetaHRise, MCMC memaklumkan ia turut menampilkan persekitaran ruang pembelajaran maya yang dipanggil Connect Hub, yang direka untuk meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan untuk kakitangannya.

“Selain itu, program ini meningkatkan lagi pembinaan pasukan melalui gamifikasi yang menampilkan aktiviti melalui ciri termajunya yang direka untuk menguji pengetahuan, memupuk kerja berpasukan dan meningkatkan penglibatan pekerja,” menurut kenyataan itu.

Walaupun dilancarkan hanya beberapa bulan lepas, MCMC memaklumkan MetaHRise telah memperoleh momentum yang ketara, yang membolehkan MCMC dinamakan sebagai Agensi Transformatif Terbaik di Festival Anugerah Inovasi 2024 oleh GovInsider.

Kenyataan itu memaklumkan penghargaan itu telah menyerlahkan komitmen MCMC terhadap inovasi digital dan usaha berterusannya untuk meningkatkan kecekapan operasi dan penglibatan pekerja.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan