FOKUS BERNAMA

Keunikan Kraf Manik Sentuhan Wanita Bintulu

31/07/2024 11:33 AM

Jemput masuk," seorang lelaki dengan ramah menyambut kedatangan kami dan turut berada di halaman rumah panjang itu beberapa orang wanita, ada yang lengkap dengan busana tradisional kaum Iban, kelihatan anggun dan manis.

Lelaki itu ialah Endawie Anak Moga, Tuai Rumah Panjang yang terletak di Bukit Bethany, Bintulu (Sarawak).

Sejurus memasuki anjung rumah panjang setingkat itu, penulis terpandang sekumpulan wanita, kebanyakannya dari suku kaum Iban dan Bidayuh, tekun membuat sulaman kraf manik yang pada pemerhatian penulis amat rumit dan pastinya memerlukan tumpuan yang tinggi.

pic-3

Kunjungan penulis serta empat lagi wakil media tempatan ke rumah panjang yang kelihatan moden berbanding rumah panjang tradisional itu adalah sempena Program Media Turun Padang di Sarawak, anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) selama empat hari bermula 27 hingga 30 Jun lalu. Program ini meliputi Bintulu dan Lusong Laku, Belaga. 

Turut menyertai program ini ialah Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk 'Ainu Sham Ramli yang turut menyampaikan sijil penyertaan pada majlis Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Manik di bawah Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) kepada masyarakat di Bintulu, Sarawak.

 

PERLU TELITI

Tekaan penulis mengenai penghasilan sulaman kraf menggunakan manik menuntut kesabaran tinggi diakui tenaga pengajar pada program makmal berkenaan yang dikendalikan Johiam Jitui serta dua lagi pereka dari Kraftangan Malaysia.

Johiam, 49,  yang berpengalaman 12 tahun dalam bidang sulaman kraf manik dan memiliki butik Bidayuh Traditional Collection di Kuching itu berkata, untuk menghasilkan set anting-anting dan rantai menggunakan manik amat memerlukan ketelitian.

"Bukan mudah untuk membuatnya kerana semakin kecil manik itu semakin rumit untuk dihasilkan disebabkan lubang yang kecil selain corak bunga yang semakin halus.

“Ia memerlukan penumpuan yang tepat kerana semakin lama semakin susah untuk dilihat," kata wanita dari etnik Bidayuh, yang memfokuskan kepada aspek kemahiran anyaman manik teknik sulaman berjurai kepada peserta PPKK terbabit.

pic-2

Seramai 15 orang terdiri daripada kalangan suri rumah yang tinggal di kawasan berhampiran serta di rumah panjang berkenaan menyertai program kemahiran itu.

Menurut Johiam, daripada segi motif, ia turut menekankan rekaan mengikut etnik yang terdapat di Sarawak, antaranya, Iban, Bidayuh dan Kayan.

Tambahnya, dalam mengeluarkan produk kraf manik, padanan warna turut memainkan peranan penting dalam menjadikan set anting-anting serta rantai yang dibuat itu agar tampak lebih eksklusif dan anggun.

Bagi seutas rantai, ia memerlukan masa kira-kira tiga hari untuk disiapkan dengan harga dijual antara RM150 manakala anting-anting pula boleh disiapkan dalam tempoh dua hari, dengan harga jualan bermula dari RM80.

Berhubung pemasaran kraf manik sentuhan wanita Bintulu, Johiam berkata, kebanyakan peserta menjual produk mereka di sekitar kawasan berkenaan serta semasa terdapat penganjuran festival, pameran seperti Hari Gawai.

Selain itu, Johiam turut membantu memasarkan produk peserta berkenaan dengan dipasarkan di Kuching serta di butiknya.

 

JATUH CINTA  

Seorang peserta program Cyinthia Amoi, 43, berkata, dia mula berjinak-jinak dalam bidang kraf manik sejak berusia 12 tahun selepas sering melihat hasil sentuhan kakaknya.

Lama-kelamaan, ibu kepada enam orang cahaya mata itu semakin jatuh cinta dengan sulaman manik.

"Waktu kecil saya selalu buat tango menggunakan manik, kemudian buat nama sendiri dan keluarga sebelum tampal di dinding rumah," katanya yang tidak pernah ketinggalan menyertai pelbagai bengkel dianjurkan Kraftangan Malaysia termasuk Hari Kraf Kebangsaan 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

pic-5

Tango adalah hiasan dada yang dipakai oleh wanita Iban, diperbuat daripada manik dan dihiasi bebola kapas atau kepingan siling, bertujuan menutup bahagian dada.

Berkongsi tentang pembuatan kraf manik, Cyinthia yang bekerja sebagai penyelia di Samalaju Port itu berkata, daripada segi penggunaan manik terdapat beberapa jenis iaitu manik Naga, Indonesia serta Jepun.

"Saya gemar menggunakan manik yang halus dan jenis naga kerana hasilnya sangat kemas dan cantik. Untuk menghasilkan anting-anting seseorang itu harus kreatif terhadap karya produknya.

“Ia terpulang kepada individu itu. Adakalanya corak mereka nampak biasa sahaja namun jika bijak menggabungkan warna sesuai, hasil produk itu pasti memukau," katanya yang menyukai padanan tiga warna iaitu biru dan merah tua serta kuning kunyit.

Tambah Cyinthia, bagi pembuatan anting-anting serta rantai, sebanyak 200 gram manik diperlukan manakala tali penyandang (lanyard) bergantung kepada saiznya.

Berhubung sambutan, dia berkata, permintaan terhadap kraf manik sangat menggalakkan, justeru Cyinthia berharap golongan muda mengambil peluang daripada program kemahiran yang disediakan oleh Kraftangan Malaysia.

Peserta termuda dalam program itu Alexandra Adowen,18, menyifatkan sesi pembelajaran kemahiran teknik sulaman manik dapat memberikan pengalaman baharu buatnya di samping menambah ilmu pengetahuan.

pic-6

Anak bongsu daripada tiga beradik itu yang sedang menunggu kemasukan ke program matrikulasi, berkata, beliau mengikut ibu saudaranya menyertai makmal berkenaan dan mempelajari teknik membuat tali penyandang, rantai kunci daripada manik pada bengkel pertama yang berlangsung pada Disember tahun lepas.

Pada bengkel kali kedua ini, beliau menimba ilmu penghasilan anting-anting.

"Pada mulanya agak sukar untuk menguasai teknik ini dan agak keliru dengan corak yang pelbagai, namun lama-kelamaan saya dapat melakukannya dan mula meminati bidang ini," katanya yang  optimis mahu menjadikan kemahiran itu sebagai peluang pendapatan serta ingin bergelar usahawan suatu hari nanti.

 

PERKASA KOMUNITI

Sementara itu 'Ainu Sham berkata, program Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Manik di bawah PPKK itu yang bermula dari 24 hingga 27 Jun lepas memberi penekanan kepada kemahiran anyaman manik teknik sulaman berjurai.

Menurut beliau, pada fasa pertama, iaitu 7 hingga 10 Dis 2023, komuniti berkenaan diberikan pendedahan tentang teknik asas sulaman manik menggunakan peralatan tenunan.

Makmal berkenaan, katanya, bertujuan membangun serta mewujudkan komuniti kraf baharu yang melibatkan diri secara langsung dalam perusahaan kraf bagi menjana pendapatan utama atau sampingan.

"PPKK merupakan inisiatif Kraftangan Malaysia dalam meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat dengan melatih peserta tentang aspek kemahiran teknikal dan keusahawanan berdasarkan bidang kraf yang bersesuaian, mengikut penempatan kumpulan komuniti.

"Hingga 2024, Kraftangan Malaysia berjaya melaksanakan 14 aktiviti PPKK di Sarawak melibatkan 247 peserta, merangkumi bidang kraf tekstil, hasil rimba, hasil logam dan aneka kraf," katanya menambah, usaha serta inisiatif yang dijalankan oleh Kraftangan Malaysia itu secara tidak langsung dapat memperkasa bilangan usahawan kraf di negeri Sarawak. 

Beliau berkata, ketika ini terdapat seramai 1,237 usahawan kraf di negeri Sarawak dengan 49 orang adalah usahawan di Bintulu.

pic-4

"Di sini saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada 15 peserta Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Manik di Bintulu, Sarawak yang begitu bersungguh mempelajari produk kraf manik. Saya berharap komuniti baharu di sini dapat memanfaatkan kemahiran yang dipelajari serta meneruskan aktiviti pengeluaran produk kraf.

"Menjadi harapan saya agar Bintulu ini menjadi hab pengeluaran produk kraf manik yang dapat dikomersilkan, bukan sahaja di pasaran tempatan tetapi juga di persada antarabangsa," katanya.

'Ainu Sham yakin dengan komitmen dan iltizam yang diberikan komuniti di Bintulu, industri kraf akan terus berkembang maju dan berdaya saing.

Pada masa sama, beliau turut mengharapkan wanita daripada komuniti berkenaan dapat menghasilkan produk kraf manik yang mempunyai identiti Bintulu, agar wujud perbezaan antara kraf manik di tempat lain.

"Kita tahu kraf manik ini turut ada di tempat lain seperti di Sabah, justeru, kita mahu komuniti di sini mencari kelainan dan idea dengan menonjolkan identiti dari Bintulu agar masyarakat nanti apabila mereka tengok sahaja produk kraf manik sudah tahu dan kenal ia merupakan produk Bintulu," katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan