AM

Perdana Menteri Kutuk Pembunuhan Ismail Haniyeh

31/07/2024 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Beliau berkata ia merupakan pembunuhan yang sangat tragik dan kejam, jelas bertujuan menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman regim Zionis Israel di Gaza yang telah meragut lebih 40,000 nyawa.

“Pembunuhan besar-besaran ini hanya boleh berlaku, dimungkinkan dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan dan dihukum.

“Hanya mereka yang tiada sifat kemanusiaan sahaja yang tidak menyedari keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis Israel bagi menghentikan pembantaian,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Anwar berkata rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya, dan beliau amat bimbang dengan nasib yang akan menimpa mereka susulan pembunuhan Ismail.

“Saya berduka atas kehilangan seorang sahabat yang akrab dan tokoh pejuang sejati rakyat Palestin,” katanya.

Anwar menerusi hantaran sama turut berkongsi video perbualan telefon beliau bersama ahli biro politik Hamas, Dr Basem Naim.

Dalam perbualan itu Perdana Menteri antara lain menyampaikan pesanan kepada Dr Basem mengenai pendirian bahawa Malaysia akan tetap teguh mendukung perjuangan untuk sebuah negara Palestin yang merdeka.

“Allahyarham Ismail adalah tonggak perjuangan ini (Palestin), dan salah satu hal yang diperjuangkan adalah perjanjian damai bagi mengembalikan hak rakyat Palestin. Jelas ada unsur sabotaj. Mereka tidak mahu perjanjian damai ini berjaya,” katanya.

Anwar pada masa sama turut menzahirkan rasa sangat marah terhadap kegagalan masyarakat antarabangsa dalam memastikan keamanan serta keadilan ditegakkan, dan memberitahu bahawa Malaysia akan terus melakukan yang terbaik bagi mengutuk kekejaman yang dilakukan rejim Zionis.

Dr Basem di dalam perbualan itu seterusnya menzahirkan keyakinan terhadap sokongan teguh Anwar dan rakyat Malaysia dengan menyifatkan Perdana Menteri amat lantang dan komited dalam menyokong perjuangan Palestin.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan