DUNIA

Malaysia Dipilih Ke Lembaga Pengelola Subsidiari OIC Penggal 2025-2028

01/08/2024 01:17 AM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Malaysia telah dipilih untuk menganggotai Lembaga Pengelola organ subsidiari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk penggal 2025 hingga 2028.

Kementerian Luar dalam catatan terbaharunya di X, mengumumkan bahawa Malaysia telah dipilih menjadi anggota Lembaga Pengelola Universiti Teknologi Islam (IUT) dan Pusat Pembangunan Perdagangan Islam (ICDT) bagi penggal 2025-2028.

Pemilihan itu berlangsung semasa Sesi ke-46 Suruhanjaya Hal Ehwal Ekonomi, Kebudayaan dan Sosial Islam di ibu pejabat OIC di Jeddah, Arab Saudi, pada Isnin (29 Julai).

“Malaysia berharap dapat memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara anggota OIC, terutamanya dalam bidang pendidikan dan perdagangan,” kata kementerian itu.

Kementerian itu berkata Lembaga Pengelola IUT akan diwakili oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, manakala Lembaga Pengelola ICDT akan diwakili oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

IUT, sebuah institusi pendidikan dan penyelidikan yang terletak di Bangladesh, ditubuhkan pada tahun 1981 dengan objektif utama untuk menyumbang kepada pembangunan sumber manusia negara-negara anggota OIC, khususnya dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan pendidikan teknikal.

Menurut laman sesawangnya, ICDT yang ditubuhkan di Casablanca pada tahun 1984, bertanggungjawab untuk mempromosikan perdagangan dan pelaburan di negara-negara OIC.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan