JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tembak SUV, Berkas Tiga Sindiket Curi Kereta Mewah Di Ipoh

01/08/2024 09:47 AM

IPOH, 1 Ogos (Bernama) -- Polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan terhadap Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) dinaiki tiga lelaki tempatan disyaki sindiket mencuri kereta mewah, setelah bertindak agresif dalam usaha meloloskan diri selepas dikejar kira-kira 20 kilometer dari Ipoh ke Batu Gajah dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, tiga anggota polis yang melakukan rondaan di sekitar Taman Soon Choon di sini, mengesan sebuah Toyota Harrier dalam keadaan mencurigakan.

"Semasa anggota polis menghampiri kenderaan tersebut untuk melakukan pemeriksaan, suspek bertindak memecut kenderaan sehingga ke Plaza Tol Gopeng sebelum merempuh palang di plaza tol itu,” katanya kepada  pemberita selepas Majlis Makan Malam Ketua Polis Perak bersama media di sini, malam tadi.

Katanya susulan itu, kenderaan berhenti secara mengejut sebelum mengundur dengan laju dan melanggar kereta polis sebelum satu lagi das tembakan terpaksa dilepaskan ke arah tayar belakang kenderaan suspek.

Azizi berkata tindakan suspek yang memandu kereta secara berbahaya dan agresif dengan menghimpit kenderaan polis sekali gus memaksa pihak polis melepaskan dua lagi das tembakan ke arah kenderaan tersebut.

Beliau berkata kesemua suspek yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan, berusia lingkungan 34 hingga 47 tahun itu berjaya ditahan di Jalan Siputeh, Batu Gajah setelah SUV dinaiki terbabas akibat tayar pecah terkena tembakan.

"Semasa tangkapan dibuat, kesemua suspek cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan," katanya menambah kesemua suspek yang beralamat dari Johor itu, mempunyai rekod jenayah lampau antaranya berkaitan dadah, jenayah rompak dan mencuri.

Beliau berkata pihaknya telah merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan dan kesemua suspek direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Azizi dalam ucapannya berkata media diibaratkan 'jambatan' antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masyarakat kerana media adalah perantara bagi saluran maklumat polis kepada rakyat.

"Orang ramai berhak tahu apa yang berlaku, pihak berkuasa tidak boleh berdiam diri, jadi kita sentiasa memerlukan media dalam memastikan hanya penyebaran maklumat dan informasi tepat serta sahih kepada masyarakat,” katanya.

Media juga katanya banyak berperanan menyampaikan maklumat terutamanya mengenai usaha PDRM membanteras jenayah dan menjaga keselamatan awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan