JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Labuan Tahan 13 Pendatang Tanpa Izin Dalam Dua Operasi Berasingan

01/08/2024 11:57 AM

LABUAN, 1 Ogos (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan berjaya menahan 13 pendatang tanpa izin dalam dua operasi berasingan yang dijalankan pada Isnin (29 Julai) dan Rabu (31 Julai).

Pengarah Imigresen Labuan Raymond Entalai berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada 12 wanita Filipina dan seorang lelaki Pakistan. 

“Penahanan mereka ini menunjukkan di Labuan masih terdapat warga asing yang tidak dilengkapi dokumen perjalanan sah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Raymond berkata operasi berkenaan dilaksanakan di tujuh premis sekitar pulau itu. 

Kesemua yang ditahan kini sedang disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963. 

Raymond berkata kesemua tahanan ditempatkan di lokap Balai Polis Labuan dan Depot JIM Labuan untuk siasatan lanjut.

Raymond menasihatkan para majikan agar mematuhi undang-undang dengan hanya mengambil warganegara asing yang mempunyai dokumen sah untuk bekerja.

“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang masuk dan tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah serta mereka yang menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Tindakan pendakwaan akan dikenakan terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah,” katanya. 

Beliau berkata di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), majikan didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak lebih daripada RM50,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap seorang yang diambil bekerja.

Beliau juga menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi pendatang tanpa izin.

Jabatan Imigresen Labuan menggalakkan orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai kehadiran pendatang asing meragukan di kawasan mereka melalui talian 087-421 296 atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://imi.spab.gov.my/eApps/system/index.do ataupun menerusi e-mel di pro_labuan@imi.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan