DUNIA

China Kutuk Keras Pembunuhan Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh

01/08/2024 12:19 PM

NEW YORK, 1 Ogos (Bernama-CMG) -- China membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan ketua politik Hamas Ismail Haniyeh, kata Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Fu Cong pada sesi tergempar Majlis Keselamatan, di sini pada Rabu.

Sesi tergempar mengenai pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh diadakan atas permintaan Iran, China, Algeria dan Rusia.

Fu menyifatkan pembunuhan Ismail Haniyeh sebagai sabotaj ke atas kesungguhan pelbagai pihak untuk mewujudkan kedamaian, di samping mencabuli prinsip asas Piagam PBB yang menghormati keutuhan wilayah dan kedaulatan pelbagai negara.

Sementara itu, menurut Fu, China amat bimbang dengan kemungkinan peningkatan ketegangan di rantau berkenaan.

"Setakat ini, konflik di Gaza telah berlarutan selama hampir 300 hari, menyebabkan kehilangan 40,000 nyawa dan bencana kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Pihak-pihak terlibat patut menyahut seruan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan peperangan, melaksanakan sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan PBB," ujar Fu.

Beliau menegaskan bahawa China membantah keras dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab yang berlaku pada mutakhir ini, termasuk serangan Israel ke atas kawasan selatan Beirut.

"Operasi ketenteraan dan penyalahgunaan kekerasan bukanlah pendekatan penyelesaian. Ia hanya akan membawa kepada krisis yang lebih besar," kata Fu.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan