AM

JKKP Keluar Notis Henti Kerja, Pekerja Maut Dihempap Forklift

02/08/2024 10:44 AM

BUKIT MERTAJAM, 2 Ogos (Bernama) -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta kerja-kerja di kawasan kejadian seorang pekerja asing maut dihempap jentera pengangkut (forklift) di sebuah kilang pembuatan, di sini.

Pengarah berkenaan Hairozie Asri berkata kemalangan membabitkan pekerja lelaki itu berlaku pada 9.40 malam Isnin lepas dan mangsa ialah pemandu forklift itu.

"Sebelum kejadian, mangsa sedang menjalankan kerja mengangkat dan memindahkan barang-barang di dalam kawasan logistik di kilang itu, dia dilaporkan dihempap oleh forklift yang hilang keseimbangan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Sepasukan pegawai penyiasat dari JKKP  Pulau Pinang telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima pemberitahuan mengenai kes kejadian kemalangan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kilang berkenaan sehingga siasatan selesai dijalankan.

JKKP Pulau Pinang juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada pihaknya, tambah Hairozie

"Kami akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan  dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenal pasti serta lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan