EKONOMI

SAMENTA Pergiat Usaha Bantu PKS Tingkat Pemahaman ESG

02/08/2024 12:00 PM

GEORGE TOWN, 31 Julai (Bernama) -- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) akan mempergiatkan usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini dalam meningkatkan pemahaman mereka terhadap pematuhan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Presiden SAMENTA Datuk William Ng berkata ia berikutan masih ramai PKS belum begitu mahir dalam pematuhan piawan tersebut yang dilihat amat penting bagi memastikan mereka terus kekal berdaya saing dalam industri.

"Banyak lagi isu yang memerlukan perhatian dan bantuan daripada SAMENTA, tetapi antara yang serius adalah berkaitan pematuhan ESG, jadi kita mahu bantu mereka menghadapi cabaran ini dengan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan berkaitan perkara itu.

"Selain pematuhan ESG, kita juga melihat bahawa antara masalah terbesar dihadapi PKS bukan saja di Pulau Pinang tetapi juga seluruh negara adalah isu kekurangan produktiviti dan produk dihasilkan masih belum capai tahap syarikat besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Ulang Tahun ke-75 Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Dewan Sri Pinang di sini hari ini.

Ng merupakan antara 10 penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) yang membawa gelaran 'Datuk' pada hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pelbagai bantuan telah diusahakan pihaknya dalam membantu PKS untuk meningkatkan produktiviti termasuk menerusi program pendigitalan PKS dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika pandemik COVID-19 dengan 1,000 PKS menerima sumbangan untuk melaksanakan pendigitalan dalam perusahaan mereka.

Beliau berkata SAMENTA mempunyai lebih 5,000 ahli di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan PKS dianggarkan 1.2 juta.

Mengenai anugerah DMPN yang diterima hari ini, Ng menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Tun Ahmad Fuzi kerana mengiktiraf sumbangannya dalam membantu PKS di negeri ini.

"Pengiktirafan bukan saja kepada saya tetapi juga atas usaha semua PKS di negeri ini dalam menjana ekonomi Pulau Pinang," katanya.

Pada tahun ini, sebanyak 142 penerima Darjah Kebesaran dan 1,204 penerima Bintang dan Pingat Kehormatan tersenarai dalam istiadat penganugerahan yang berlangsung empat hari bermula Sabtu lepas, semalam, hari ini dan esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan