EKONOMI

CIMB Group Lantik Tengku Azmil Sebagai Pengerusi CIMB Thai Bank Berkuat Kuasa 19 Julai

02/08/2024 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- CIMB Group Holdings Bhd melantik Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz sebagai Pengerusi dan Pengarah CIMB Thai Bank, berkuat kuasa 19 Julai, 2024.

Tengku Azmil akan menggantikan Datuk Robert Cheim Dau Meng yang telah bersara.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, CIMB menjelaskan Tengku Azmil telah dilantik sebagai Pengarah Bukan Bebas CIMB Group pada 1 Julai, 2024.

“Tengku Azmil sebelum ini ialah Ketua Pegawai Pelaburan di Khazanah Nasional Bhd (Khazanah). Beliau berkhidmat dengan Khazanah dan memegang pelbagai jawatan kanan termasuk Timbalan Pengarah Urusan dan Pengarah Eksekutif Pelaburan dari 2011 hingga 2022,” menurut CIMB.

Beliau pernah memegang jawatan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines dari 2009 hingga 2011, selain Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan.

“Beliau pada masa ini ialah Pengerusi Lembaga Pengarah CelcomDigi Bhd dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Sime Darby Bhd serta ahli Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia,” jelasnya.

CIMB juga memaklumkan Tengku Azmil memiliki ijazah dalam bidang Ekonomi dari University of Cambridge, United Kingdom, serta merupakan akauntan bertauliah dan ahli bersekutu Institut Akauntan Malaysia dan Institute of Chartered Accountants in England and Wales.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan