AM

Jenazah ADUN Mahkota selamat dikebumikan

02/08/2024 07:12 PM

KLUANG, 2 Ogos (Bernama) -- Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota Datuk Sharifah Azizah Syed Zain selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kampung Tengah, di sini hari ini.

Terdahulu, jenazah dibawa dari Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) ke rumah Allahyarham di Jalan Ahmad Khan, di sini untuk disembahyangkan.

Jenazah sekali lagi disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Tengah sebelum dikebumikan kira-kira 5.25 petang.

Solat jenazah turut disertai anak-anak Allahyarham iaitu Wan Mohd Hibatullah Abu Bakar, 40; Wan Mohd Hazwan Abu Bakar, 39; dan Wan Mohd Hasbullah Abu Bakar, 34.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua UMNO Bahagian Kluang Datuk Md Jais Sarday; bekas Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique serta Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Turut hadir lebih 200 rakan politik, saudara-mara, sahabat handai dan orang ramai yang memenuhi kawasan masjid dan tanah perkuburan.

Sharifah Azizah meninggal dunia pada 12.32 tengah hari tadi ketika dirawat di HEBHK.

Ketua Wanita UMNO Kluang itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan akibat mengalami sesak nafas pada awal pagi Rabu.

Bekas Ketua Ketua Wanita UMNO Johor dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Penawar itu meninggalkan empat anak iaitu Wan Mohd Hibatullah, Wan Mohd Hazwan, Wan Mohd Hasbullah dan Wan Harizahtul Nadia, 33, serta 13 cucu. 

Suami Allahyarham, Abu Bakar Mohd Amin meninggal dunia pada 2005 akibat kanser limfoma.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan