AM

Mangsa rumah roboh di Semporna diuji dua kali hilang rumah

02/08/2024 09:47 PM

SEMPORNA, 2 Ogos (Bernama) -- Sebahagian besar keluarga yang terjejas selepas rumah atas air mereka roboh di Kampung Simunul Lorong 3 di sini semalam, juga merupakan mangsa kebakaran pada 2015 di kampung itu.

Suri rumah Nuramna Sulaiman, 38, berkata sebahagian rumah roboh itu adalah rumah transit atas air yang menempatkan mangsa kebakaran tersebut, sementara menunggu panggilan penempatan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria di sini.

"Sementara menunggu panggilan penempatan berfasa, kami tinggal di rumah transit ini selepas rumah kami di Kampung Simunul terbakar pada tahun 2015 dan semalam kami sekali lagi diduga ujian kehilangan rumah selepas sembilan tahun berlaku kejadian kebakaran.

"Saya harap kerajaan dapat memberikan bantuan sewajarnya dan segera, termasuk proses penempatan rumah di PPR itu dapat dipercepatkan kerana kami kehilangan tempat tinggal," katanya kepada Bernama.

Nuramna berkata ketika kejadian dia serta anak berada di pekan Semporna namun mendapat panggilan berlaku kejadian rumah roboh namun tidak menyangka rumah didiami ranap ke laut.

"Apabila sampai di kampung, saya dapati 15 rumah roboh dan selepas itu ada satu kumpulan rumah lagi termasuk rumah saya juga roboh. Rumah transit ini bersambung, tiang digunakan untuk rumah dan jambatan itu sama, jika dibaiki perlu semua dibaiki, mak cik saya ada baiki tiang rumahnya namun semalam turut roboh.

"Beberapa hari sebelum kejadian kami perasan rumah semakin merapat antara satu sama lain, jambatan juga semakin mendekat dengan rumah, sebelum ini rumah dan jambatan itu ada jarak. Jambatan paling hujung dengan laut begitu jelas nampak bengkok, penghuni di rumah dekat laut juga ada yang awal mengosongkan rumah, syukur kejadian semalam tidak membabitkan kecederaan atau nyawa," katanya lagi.

Seorang lagi suri rumah, Salmiah Mustafa, 45, yang juga mangsa insiden kebakaran 15 tahun lepas, semalam sekali lagi kehilangan tempat tinggal bersama 11 ahli keluarganya.

"Sudah lebih tujuh tahun tinggal di rumah ini, dulu kami mangsa kebakaran di Lorong 4 Kampung Simunul kemudian tinggal di Lorong 3, saya harap panggilan untuk kami ditempatkan di PPR Bubul Ria disegerakan," katanya lagi yang masih trauma dengan kejadian semalam.

Salmiah berkata ketika kejadian dia sedang mencuci pinggan di dapur dan sempat merasakan seperti rumah bergegar dan ada bunyi seperti angin, sebelum mengarahkan semua ahli keluarga termasuk ibunya keluar dari rumah.

"Sebaik keluar, rumah roboh dan kami berlari di jambatan dan apabila saya menoleh ke belakang saya lihat jambatan itu bergerak macam tsunami, beralun seperti 'mengejar' kami dan roboh, kejadian lebih kurang 15 saat.

"Sebelum itu saya ingat pada 1 pagi, saya terbangun dari tidur kerana merasakan rumah seperti bergegar, kemudian saya ke dapur untuk memeriksa jika ada apa-apa berlaku dan saya menyedari dinding dapur nampak condong, pada 9.30 pagi begitu menantu saya turun memeriksa tiang rumah sebab saya mahu ganti baharu tetapi apabila naik ke jambatan rumah roboh," katanya.

Selain itu, mangsa yang juga orang kurang upaya Hamil Basri, 60, bersyukur apabila diselamatkan oleh jiran yang mengangkatnya keluar dari rumah untuk ke tempat lebih selamat.

"Rumah ketika itu condong tapi syukur semua selamat," katanya yang lumpuh akibat strok sejak 10 tahun lalu.

Beliau turut berharap kerajaan dapar mempertimbangkan kemasukan segera ke PPR kerana khuatir tidak memiliki tempat tinggal selepas berakhir tempoh tiga hari penempatan mangsa di pusat penempatan sementara (PPS) PPR Bubul Ria di sini.

Seramai 196 mangsa membabitkan 30 keluarga yang terjejas akibat 30 rumah roboh di Kampung Simunul Lorong 3 semalam ditempatkan di PPS PPR Bubul Ria. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan