DUNIA

Pasaran Getah Malaysia Dijangka Diniaga Dalam Jajaran Terhad Minggu Depan

03/08/2024 10:17 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald & Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah tempatan dijangka diniagakan dalam julat terhad dengan sedikit kecenderungan untuk meningkat minggu depan, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata keadaan cuaca luar biasa telah menghalang pengeluaran getah, seterusnya menaikkan harga.

“Kami menjangkakan harga dan permintaan akan terus setara berikutan hasil yang lebih rendah disebabkan cuaca yang tidak menentu di kawasan pengeluar getah.

“Kapasiti penghantaran pula terus terhalang oleh pergolakan yang berterusan di sekitar Laut Merah. Ini telah menjejaskan rantaian bekalan dan harga komoditi mungkin terus tidak menentu,” katanya kepada Bernama.

Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata pasaran getah perlu kekal berhati-hati dengan menjangkakan penurunan kadar faedah AS pada September dan langkah rangsangan terbaharu China untuk merancakkan lagi pemulihan ekonomi.

“Terdapat kemungkinan kebimbangan berterusan terhadap bekalan getah asli yang terhad dalam tempoh terdekat. Ini berikutan ramalan cuaca buruk di negara pengeluar getah asli utama di tengah-tengah peningkatan keyakinan penurunan kadar faedah AS pada September menyokong harga,” katanya.

MARGMA juga berkata harga getah akan terus menjejaki prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau.

"Kita juga harus memantau dengan teliti konflik geopolitik Timur Tengah dan prestasi ekonomi global," katanya.

Pasaran getah tempatan untuk minggu yang baru berakhir diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berikutan kenaikan harga minyak mentah.

Pada asas Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 meningkat tiga sen kepada 775.5 sen sekilogram daripada 772.5 sen sekilogram minggu lepas, manakala lateks pukal naik lapan sen kepada 633.5 sen setiap kilogram daripada 625.5 sen sebelumnya.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk fizikal SMR 20 berada pada 788.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 633 sen sekilogram.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan