JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan 41 Warga Asing, Selamatkan Wanita Nigeria Disyaki Mangsa Eksploitasi Seks

03/08/2024 01:56 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Operasi polis di tiga pusat hiburan di Jalan Changkat Bukit Bintang dan sebuah premis di Sri Hartamas di sini awal pagi tadi, memberkas 41 warga asing yang sedang leka berhibur.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kesemua yang ditahan dalam operasi bermula 1.30 pagi itu terdiri daripada 39 warga dari benua Afrika, serta dua warga Pakistan berusia 25 hingga 56 tahun.

Dalam operasi itu, polis juga berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Nigeria berusia 28 tahun, disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks.

Beliau berkata kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Seksyen 55D, Seksyen 15(1) (c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam kenyataan kepada media, Mohd Shuhaily berkata mangsa dan tangkapan bagi kes ATIPSOM dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk tindakan lanjut, manakala tahanan lain dihantar ke IPD Dang Wangi.

Operasi yang dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Strategik Nasional Majlis Anti-Pemerdagangan Orang Kementerian Dalam Negeri itu, memfokuskan kepada mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada National Guideline On Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

Sementara itu, wartawan BERNAMA yang turut sama dalam operasi mendapati kebanyakan warga asing yang ditahan tidak membawa pasport atau sebarang pengenalan diri yang sah.

Ada di antara mereka memberi alasan tertinggal pasport di hotel atau rumah, sehingga bertindak memarahi anggota polis apabila diminta untuk menunjukkan pengenalan diri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan