EKONOMI

Perak Pamer Ekonomi Berdaya Tahan, Catat Pertumbuhan 2.7 Peratus Pada 2023 - Perangkaan

03/08/2024 08:08 PM

IPOH, 3 Ogos (Bernama) -- Perak mempamerkan prestasi ekonomi yang berdaya tahan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 2.7 peratus atau RM82.6 bilion pada 2023 berbanding RM80.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), negeri itu menyumbang sebanyak 5.3 peratus kepada KDNK negara.

“Pertumbuhan ekonomi negeri ini dipacu oleh sektor perkhidmatan yang berkembang 3.0 peratus, didorong oleh subsektor berkaitan pelancongan iaitu perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan.

“Bagi prestasi KDNK per kapita, Perak merekodkan RM37,170 pada 2023, meningkat berbanding RM37,080 tahun sebelumnya,” kata DOSM dalam satu kenyataan berkaitan Laporan Sosioekonomi Negeri Perak 2023.

Menurut kenyataan itu, Perak berada pada kedudukan keempat menerima bilangan pelawat domestik tertinggi pada 2023 iaitu seramai 17.1 juta orang berbanding 14.6 juta orang pada 2022 dengan antara destinasi tumpuan utama adalah Pulau Pangkor, Lost World of Tambun dan Teluk Batik.

Negeri itu juga menerima bilangan pelancong domestik keempat tertinggi iaitu seramai 7.50 juta orang berbanding 6.87 juta pada 2022.

“Dari segi pelaburan, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Perak berjaya menarik pelaburan yang diluluskan bernilai RM8.5 bilion, merangkumi RM6.4 bilion pelaburan domestik serta RM2.1 bilion pelaburan asing pada 2023.

“Sektor pembuatan yang merupakan penyumbang kedua ekonomi Perak menerima pelaburan yang menggalakkan bernilai RM2.7 bilion, merangkumi RM1.9 bilion pelaburan asing serta RM800.1 juta pelaburan domestik,” katanya.

Seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta prestasi pelaburan menggalakkan, pasaran buruh di Perak terus mengukuh dengan merekodkan tenaga buruh seramai 1.15 juta orang pada 2023, meningkat 2.7 peratus berbanding 2022 seramai 1.12 juta orang dengan bilangan penduduk bekerja juga bertambah kepada 1.10 juta orang (2022: 1.07 juta orang).

Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) turut meningkat sebanyak 0.6 mata peratus, daripada 65.4 peratus kepada 66.0 peratus pada 2023. Pada masa sama, kadar pengangguran turun kepada 3.9 peratus daripada 4.4 peratus pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, jumlah perdagangan yang direkodkan di Perak pada 2023 adalah bernilai RM66.2 bilion, menyusut 10.5 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan nilai eksport dan import masing-masing RM32.4 bilion dan RM33.8 bilion.

Antara eksport barangan utama Perak adalah kelengkapan telekomunikasi, alat ganti dan aksesori yang bernilai RM4.8 bilion, litar elektronik bersepadu (RM4.0 bilion) dan sarung tangan getah (RM2.7 bilion), katanya.

“Destinasi eksport utama Perak pada 2023 adalah Amerika Syarikat dengan jumlah eksport bernilai RM7.4 bilion, diikuti China (RM5.5 bilion) dan Singapura (RM2.2 billion).

“Import barangan utama Perak adalah kristal piezo elektrik dan alat ganti bernilai RM4.4 bilion, diikuti litar elektronik bersepadu (RM2.1 bilion) dan kelengkapan telekomunikasi, alat ganti dan aksesori (RM1.1 bilion). Sumber import utama Perak adalah daripada Indonesia (RM7.0 bilion), China (RM6.0 bilion) dan Brazil (RM3.8 bilion),” kata DOSM.

Selaras dengan kadar inflasi negara yang lebih perlahan pada 2023, inflasi Perak turut mereda kepada 2.8 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2022, dengan mata indeks 126.4 (2022: 123.0).

Secara keseluruhan, peningkatan ini disumbangkan oleh kumpulan restoran dan hotel (5.9 peratus), makanan dan minuman (4.8 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (3.8 peratus), hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (2.3 peratus) dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.2 peratus).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan