EKONOMI

Merchantrade Dapat Kelulusan Bagi Instrumen Bayaran Gaji

05/08/2024 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade), pemain utama dalam ruang pembayaran digital, diiktiraf oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sebagai pengeluar diluluskan bagi instrumen pembayaran khas untuk pembayaran gaji.

Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade Ramasamy K. Veeran berkata penglibatan dalam penyelesaian upah digital itu adalah satu usaha mengembangkan perniagaan Merchantrade dalam ruang kiriman wang dan e-dompet.

“Langkah ini menangani satu lagi masalah kritikal untuk pekerja asing dan segmen tanpa bank lain di Malaysia.

“Selama bertahun-tahun, kami membina ekosistem kukuh yang disesuaikan dengan keperluan segmen ini dan percaya Merchantrade dalam kedudukan strategik memudahkan peralihan dari tunai kepada pembayaran gaji digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramasamy berkata menyedari cabaran besar majikan membuka akaun bank tradisional untuk pekerja migran dan segmen tanpa bank lain, penyelesaian itu dijangka mengubah proses penggajian bagi syarikat dengan menghapuskan pembayaran tunai dan cek serta membolehkan pembayaran gaji terus ke e-dompet Merchantrade Money pekerja.

Malah, beliau berkata penyelesaian itu akan menjadi pemangkin perubahan merentas pelbagai industri termasuk perladangan, pembuatan, pembinaan, perkhidmatan dan kerja domestik yang memberi manfaat kepada syarikat multinasional dan perusahaan kecil dan sederhana.

Selain platform pengagihan gaji dan e-dompet proprietarinya, ekosistem Merchantrade mempunyai 95 cawangan dan lebih 490 lokasi ejen di seluruh negara.

“Kemudahan itu berfungsi sebagai pusat sokongan dengan pasukan yang berdedikasi untuk membantu majikan dan pekerja di kawasan bandar dan luar bandar.

“Pendekatan dari awal hingga akhir syarikat pula memastikan sokongan menyeluruh pada setiap langkah dari pendaftaran dan latihan hingga perkhidmatan pasca jualan,” katanya.

Dari perspektif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Ramasamy berkata penyelesaian itu menyokong misi Merchantrade untuk mempromosi perkhidmatan kewangan saksama dan sejajar dengan agenda transformasi digital dan kelestarian kerajaan serta Rangka Kerja Rangkuman Kewangan 2023-2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan