AM

Pejabat Perdana Menteri panggil Meta hari ini

05/08/2024 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri memanggil Meta Platforms Inc (Meta) bagi memberikan penjelasan berhubung tindakan menurunkan kandungan berkaitan isu Palestin di platform media sosial Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini menzahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menurunkan hantaran Perdana Menteri yang menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh yang dibunuh baru-baru ini di platform Facebook dan Instagram pada 14 Mei dan 30 Julai lepas.

“Pejabat Perdana Menteri melihat tindakan Meta itu sebagai satu bentuk diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan.

“Ia juga adalah penghinaan terhadap perjuangan sah rakyat Palestin menuntut keadilan dan hak asasi manusia,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir dalam perjumpaan dengan Meta ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu turut menegaskan bahawa tindakan menurunkan hantaran tersebut telah memberi kesan mendalam kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang memahami penderitaan rakyat Palestin dan menentang kezaliman rejim Zionis Israel seperti terpahat dalam lipatan sejarah.

“Keputusan unilateral untuk menapis kandungan tanpa pertimbangan terhadap konteks hantaran, jelas menimbulkan persoalan tentang ketelusan dalam dasar penapisan kandungan Meta,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Perdana Menteri juga kesal dengan insiden sekatan siaran langsung menerusi Facebook melibatkan akaun Berita RTM yang menyiarkan Himpunan Pembebasan Palestin malam semalam.

Justeru Pejabat Perdana Menteri telah menuntut beberapa perkara, termasuk penjelasan terperinci berhubung tindakan-tindakan yang diambil oleh pihak Meta, serta permohonan maaf secara terbuka daripada Meta.

“Seperti yang telah dijanjikan di dalam pertemuan ini, satu kenyataan media akan dikeluarkan oleh pihak Meta dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan