JENAYAH & MAHKAMAH

Keputusan Representasi Adam Radlan 4 Sept

06/08/2024 12:59 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Sesyen menetapkan 4 Sept ini untuk keputusan representasi dikemukakan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad berhubung 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry memaklumkan kepada Hakim Suzana Hussin bahawa pihak pendakwaan masih belum memperoleh keputusan representasi itu yang diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 4 Julai lepas.

"Hari ini ditetapkan keputusan representasi, namun pihak kami masih belum mendapat keputusan representasi berkenaan yang dikemukakan pihak peguam. Pada hari ini, pihak pendakwaan baru sahaja mendapat tarikh baharu daripada AGC iaitu pada 28 Ogos ini bagi keputusan representasi.

"Oleh itu, pihak kami juga memohon mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan baharu bagi keputusan representasi selain memohon supaya mahkamah menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya bersambung esok," kata Mohamad Fadhly.

Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan, 43, tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.

Suzana melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan esok (7 Ogos). 

Pada 9 Julai lepas, saksi pendakwaan pertama iaitu penolong pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) R. Harshini selesai memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes Adam Radlan yang berdepan lima pertuduhan rasuah dan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram.

Mengikut pertuduhan, Adam Radlan didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh yang merupakan Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian dan Mat Jusoh, sebagai upah tertuduh membantu Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Lian, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan